PUTRAJAYA: Kajian klinikal dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap 1,004 pesakit kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan mendapati 66 peratus daripada bekas pesakit mengalami Sindrom Post COVID.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sindrom itu membabitkan suatu keadaan apabila bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih dan gejala itu tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.
Katanya, keadaan itu berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh bekas pesakit.
Beliau berkata, pada 18 Disember 2020, The National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom mengeluarkan satu garis panduan mengenai Sindrom Post Covid atau juga dikenali sebagai Long COVID.
"Secara amnya, data klinikal menunjukkan majoriti pesakit COVID-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya.
"Bagaimanapun, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post COVID.
"Antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19 adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, rawatan yang ditawarkan berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terbabit dan pesakit dirujukkan kepada bidang kepakaran berkaitan bagi memastikan mereka mendapat rawatan klinikal yang optimum.
Pada masa sama, beliau berkata, KKM akan terus menjalankan kajian klinikal bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post COVID dan maklumat mengenainya akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa.
Katanya, bekas pesakit COVID-19 yang didiscaj dari hospital akan diberikan janji temu rawatan susulan, manakala bekas pesakit COVID-19 yang masih mempunyai gejala dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.
"Ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang.
"Oleh itu, adalah amat penting untuk menjaga diri kita dan ahli keluarga kita supaya kekal terlindung daripada bahaya COVID-19 dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin supaya dapat mengurangkan risiko dijangkiti penyakit COVID-19 yang serius.
"Harus diingatkan bahawa golongan muda adalah kumpulan utama warga kerja bagi pelbagai sektor di negara kita. Golongan muda yang sihat adalah kunci kepada produktiviti negara," katanya.
Beliau berkata, kesan jangkitan itu boleh berpanjangan dan mengurangkan kualiti hidup serta produktiviti seseorang.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan