NOS ini bermaksud sejak motosikal itu dibeli, ia langsung tidak pernah digunakan dan hanya disimpan sebagai koleksi. Isi minyak petrol pun tidak, apatah lagi tayarnya juga yang belum menyelusuri jalan raya! -
SEBELUM ini kita selalu dengar King of Two Strokes iaitu Yamaha RXZ dijual pada harga hampir RM100,000 malah ada yang lebih lagi!
Tetapi kali ini Astro AWANI mahu membawa pembaca kepada sebuah lagi motosikal dua lejang (two strokes) iaitu Yamaha 125ZR yang sememangnya terkenal dalam kalangan mat motor dan dalam kategori motosikal ‘panas’ (selalu hilang).
Baru-baru ini seorang pengumpul motosikal di Vietnam mahu menjual sebuah Yamaha 125ZR miliknya pada harga RM89,995!
Versi terakhir Yamaha 125ZR berwarna kuning, biru dan merah yang dilancarkan pada April 2016, ditawarkan pada harga asas sebanyak RM7,269 oleh pengedarnya, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM).
Bagi versi Movistar MotoGP yang dilancarkan pada Julai 2017, harga asasnya adalah sebanyak RM8,846.76 sahaja (harga asas tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Jadi kenapa pemilik ini mahu menjual dengan harga yang berlipat kali ganda mahal? Jawapannya ialah kerana ia adakah dalam kondisi New Old Stock (NOS).
NOS ini bermaksud sejak motosikal itu dibeli, ia langsung tidak pernah digunakan dan hanya disimpan sebagai koleksi. Isi minyak petrol pun tidak, apatah lagi tayarnya juga yang belum menyelusuri jalan raya.
Sambung cerita 125ZR di Vietnam ini, mengikut sumber di MotoSaigon, jentera ini dikeluarkan pada tahun 2013 dan sejak itu tidak pernah digunakan lagi.
Ini dibuktikan lagi dengan gambar-gambar yang dimuatnaik memaparkan tempat duduk, ekzos, cermin sisi masih lagi berbalut dengan plastik cuma berhabuk sedikit.
Apa yang best dengan budaya pemotoran di Vietnam ini ialah peminat motosikal kapcai sangat besar dan mereka sanggup berbelanja tinggi demi kapcai kesayangan tidak kira membeli, modifikasi atau perkara lain.
Jadi tidak hairanlah syarikat motosikal 'Big Four’ Jepun seperti Yamaha, Honda, Suzuki dan Kawasaki sering mengutamakan pasaran Vietnam sekiranya jentera baharu mahu dilancarkan.
Pemilik jentera 125ZR itu dikenali sebagai Nguyen Cuong, yang merupakan pengumpul motosikal dua lejang di Vietnam, dan antara model 125ZR yang disimpan adalah 125ZR GO, model 2004 dan MoviStar edisi terhad!
Sebenarnya di Vietnam pernah menjadi rekod sebuah motosikal Yamaha 125ZR diklankan pada harga RM176,341... lebih mahal daripada kereta golongan T20!
Sebenarnya Malaysia juga tidak ketinggalan dalam penjualan motosikal NOS ini. Sekiranya anda melihat kedai-kedai motosikal dan bertanyakan mengenai Yamaha 125ZR, sudah pasti kebanyakannya sudah tidak mempunyai stok.
Sekiranya ada pun harganya dalam lingkungan belasan ribu, itu yang terpakai jika kondisi NOS? Jual buah pingganglah jawabnya!
Apa sekalipun, ini semua soal minat. Jika tidak, mestilah tiada orang mahu beratur panjang di restoran makanan segera semata-mata mahu mendapatkan set Kumpulan KPop BTS, ye dok?
Adios!
-AstroAwani
0 ulasan:
Catat Ulasan