Rabu, 5 Mei 2021

Subhanallah:Wanita Mali lahirkan kembar sembilan

 WANITA yang selamat melahirkan kembar sembilan. FOTO Facebook

WANITA yang selamat melahirkan kembar sembilan. FOTO Facebook

Bamako: Seorang wanita di Mali melahirkan bayi kembar sembilan dan semuanya 'dalam keadaan baik', kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Mali menerbangkan Halima Cisse, 25, tahun dari utara negara miskin Afrika Barat itu ke Maghribi pada 30 Mac lalu supaya ibu berkenaan mendapat penjagaan yang lebih baik.

Pada awalnya, wanita itu dipercayai mengandungkan bayi kembar tujuh.

Kes membabitkan wanita yang berjaya mengandungkan kembar tujuh adalah amat jarang, tetapi kembar sembilan adalah sangat luar biasa.

Jurucakap kementerian kesihatan Maghribi Rachid Koudhari berkata, beliau tidak mempunyai pengetahuan mengenai kelahiran kembar dalam jumlah itu di salah satu hospital negara berkenaan.

Tetapi, kementerian kesihatan Mali dalam satu kenyataan berkata, Cisse melahirkan lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki.

"Ibu dan semua bayi itu dalam keadaan baik setakat ini, kata Menteri Kesihatan Mali Fanta Siby kepada AFP, sambil menambah beliau diberitahu oleh doktor Mali yang mengiringi Cisse ke Maghribi.

Menurutnya, bayi dan kembar sembilan itu akan kembali ke tanah air dalam beberapa minggu lagi.

Doktor sebelum ini khuatir akan kesihatan Cisse, menurut laporan media tempatan, termasuk peluang bayi itu untuk selamat.

Kementerian kesihatan Mali dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan ultrabunyi di Mali dan Maghribi pada mulanya menunjukkan wanita itu mengandung kembar tujuh.

Siby turut mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan di Mali dan Maghribi yang membantu proses kelahiran bayi kembar berkenaan.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan