Kuala Lumpur: Sama tapi tidak serupa. Demikian yang boleh digambarkan mengenai Ahmad Rosli dan adiknya Muhammad, pasangan kembar siam yang pernah menggemparkan negara hampir 20 tahun lalu.
Apa tidaknya, Ahmad penggemar makanan pedas berbanding adiknya, Muhammad.
Malah ketika sambutan Aidilfitri, Ahmad menggemari menu sambal sotong manakala adiknya meminati rendang ayam.
Karakter mereka juga berbeza, Ahmad lebih pendiam berbanding adiknya, seorang periang.
Mereka juga tidak suka berpakaian sama dan lebih selesa menjalani kehidupan normal seperti individu lain.
Persamaan mereka adalah memakai kasut bersaiz 41 yang sama. Ahmad akan pakai sebelah kiri manakala adiknya sebelah kanan.
Pasangan kembar Siam dari Puchong, Selangor ini menjalani pembedahan pembahagian hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2001. Pada September 2002, mereka dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi. Kini, pada usia 23 tahun, Ahmad masih lagi belajar di peringkat diploma dalam jurusan reka bentuk grafik manakala adiknya sudah bekerja sebagai pengurus projek di sebuah syarikat teknologi maklumat.
Oleh kerana keadaan Ahmad yang kurang sihat, penulis hanya berpeluang menemu bual Muhammad menerusi telefon.
Muhammad berkata, selepas hampir dua dekad dipisahkan biarpun serba kekurangan mereka dapat jalani kehidupan normal seperti insan lain. Katanya, masih ramai yang mengingati peristiwa mereka dipisahkan menerusi pembedahan di Arab Saudi.
"Kini, selepas menamatkan pengajian dalam ijazah sains komputer pada Februari lalu, saya bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat.
"Sebelum itu, selama sebulan saya buat permohonan di lebih 10 syarikat namun tidak mendapat maklum balas.
"Alhamdulillah, tidak lama selepas itu, sebuah syarikat menawarkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan biarpun menyedari kekurangan saya," katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, abangnya yang mesra dengan panggilan Along masih lagi belajar di peringkat diploma berikutan menghidap penyakit anemia atau kekurangan sel darah merah.
"Sepatutnya, kami dapat tamatkan pengajian sama namun Along sedikit tertangguh berikutan berdepan masalah kesihatan.
"Insya-Allah, Along menyasarkan dapat menamatkan pengajiannya pada hujung tahun ini," katanya.
Mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Muhammad berkata, ia dirai secara sederhana dengan keluarganya di Kampung Tengah, Puchong, Selangor.
"Kebiasaannya kami akan pulang ke kampung di Sungai Besar, Selangor namun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami beraya di rumah dengan keluarga.
"Biarpun tidak boleh berkunjung ke rumah jiran, kami tetap gembira dapat beraya bersama keluarga," katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, Muhammad berhasrat mengambil lesen memandu dalam masa terdekat.
"Selain mudah untuk bergerak, saya juga nak bantu ayah untuk menghantar tiga adik ke sekolah," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan