Kuala Lumpur: Penghijrahan penyanyi Mizz Nina sejak lebih 10 tahun lalu masih menjadi inspirasi kepada ramai wanita.
Malah, perubahan drastik dalam diri isteri kepada penyanyi Noh Salleh itu dianggap menjadi teladan terbaik dalam kalangan warganet kerana tiada kontroversi membabitkan dirinya selepas penghijrahan itu.
Perkongsian pengguna akaun Facebook Izzlara Mungawan mengenai keperibadian Mizz Nina tular di media sosial.
"Saya memuji Mizz Nina dalam penghijrahannya. Dia berubah menjadi orang baharu. Anak kepada salah seorang 'tycoon' Malaysia, kalau nak diikutkan segala macam jenis kontroversi dia boleh bikin (buat). Namun, saya tidak pernah mendengar apa pun khabar angin panas sewaktu penghijrahan beliau. Syabas Nina! Kadang-kadang yang terbaik adalah lebih 'mahal' daripada 'murah'.
"Nak hijrah itu sangat dituntut namun usahlah kerana hijrah kita itu, membuka sejuta pintu fitnah. Seharusnya kita membendung dan memelihara diri dari membuka lorong-lorong fitnah sama ada untuk diri kita mahupun orang lain.
"Nina berkahwin dengan Noh, bukan dalam kalangan 'alim ulama' yang 24 jam kata-katanya penuh dengan hadis dan al-Quran, namun Noh menjaga dan mendidik Nina menjadi seorang isteri yang jauh solehahnya. Dia mempunyai segalanya tetapi dia tidak pernah membawanya ke jalan yang salah," katanya.
Menerusi hantaran sama, Izzlara menyifatkan dakwah yang dibawa Mizz Nina menjadi ikutan ramai.
"Dakwahnya menjadi ikutan. Dakwahnya ada kelas. Dakwahnya mengajak dan buat orang merasa terpanggil. Dakwahnya berkualiti walaupun hujahnya bukan disulami bahasa al-Quran dan hadis.
"Elakkan sebarang kontroversi dan sebagainya agar dakwah itu sampai. Buat kesekian kalinya, satu demi satu Allah buka keaiban hamba-Nya yang melampaui batas. Secara sengaja mahupun tidak, keaiban itu dibuka sendiri tanpa paksa.
"Allah kurniakanlah dia hidayah, bagaimana sewajarnya tindakan seorang yang berpengaruh dan menutup rapat auratnya. Bukan sebaliknya Kau membuka keaibannya di saat dia sendiri tanpa sedar membuka aibnya.
"Semoga Allah berikan kita semua hidayah dan tahu bertindak mengikut iman bukan nafsu," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan