Khamis, 20 Mei 2021

JANGKITAN COVID-19 TIDAK REDA-ANCAMAN VIRUS ITU BENAR!!!

 

DENGAN cara apa lagi yang boleh menyedarkan masyarakat di negara kita ini?

Walaupun sudah dijelaskan dengan tulisan ilmiah, video dan pelbagai konsep lainnya bahawa virus ini adalah sesuatu yang benar lagi bahaya, namun masih ada juga yang meremehkannya.

Sedarlah, tiada manusia yang ingin lakukan sesuatu yang memenatkan diri mereka sendiri seperti BARISAN HADAPAN di hospital bagi menangani kes ini setiap saat dan waktu, 24 jam dan 7 hari seminggu.

Petugas kesihatan ini sanggup korbankan waktunya sendiri bersama keluarga demi berkhidmat menyelamatkan mangsa yang terlibat.

Menyarung ‘perisai’ kelengkapan alat pelindung diri (PPE) dalam tempoh berjam-jam bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Tentunya panas, melemaskan dan ketidakselesaan yang dirasakan. Namun para petugas barisan hadapan di hospital-hospital juga di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) tetap setia menjalankan tugasnya.

Mendepani kematian itu satu kebiasaan bagi pakar kesihatan mahupun jururawat di wad ICU ini, namun itu tidak bermakna hati mereka membatu melihat seseorang ketika ditarik nyawanya. Pastinya sedikit sebanyak emosi mereka terganggu, apatah lagi negara kini mencatatkan puluhan kematian setiap hari dek pandemik Covid-19.

Pernahkah kita bayangkan pengakhiran hidup ini ke tanah perkuburan tiada iringan keluarga tercinta? Begitulah yang terpaksa didepani untuk mereka yang meninggal disebabkan Covid-19 ini. Tentunya itu bukan sesuatu yang dibuat-buat seperti skrip drama atau filem yang boleh ditentukan oleh penulisnya.

Namun, itulah realiti yang kita semua wajib ketahui betapa virus ini sangat kejam hingga keadaan seperti itu terjadi, yang mana sehingga hari ini telah melepasi angka 2,000 kes kematian direkodkan sejak setahun yang lalu.

Bagaimanalah perasaan ahli keluarga mereka yang tidak dapat bertemu untuk kali terakhirnya?

Sebenarnya itu tidak perlu kita persoalkan. Tetapi tanya dan sedarkanlah diri kita ini agar terus dan tetap menjaga diri serta persekitaran dengan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada berlaku seperti itu!

Boleh sahaja sesiapa yang masih tidak percaya dengan ujian yang Allah hadirkan ini, teruskan demikian. Tetapi tolonglah berbelas ihsan dan bertimbang rasa terhadap manusia lainnya yang meyakini bahawa itu adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan sesungguhnya, agar dapat menyelamatkan lebih banyak lagi nyawa daripada dijangkiti virus tersebut.

Tugas kita hanya mematuhi segala saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Tidak perlu kita debat atau bahaskan untuk apa semua itu? Tetapi ingatlah kita bahawa pegawai kesihatan di hospital tidak pernah mempersoalkan tugasnya mendepani semua pesakit Covid-19 yang perlu ditanganinya. Tidak kira bangsa dan agama pun, mereka setia, gigih berusaha untuk menyelamatkan pesakit.

Sebagaimana mereka yang pernah menghadapi situasi ini, akan mengatakan, “Bila dah kena baru tahu. Maka duduklah di rumah dan patuhi SOP yang telah ditetapkan.”

Adakah anda yang belum ‘terjebak’ dengan keadaan itu akan mengulangi kata-kata itu lagi? Nauzubillah. Sewajarnya kita semua berusaha menjaga diri kita dan ahli keluarga daripada dijangkiti virus ini.

Pakai pelitup muka, kerap cuci tangan dan sentiasa mandi setelah tiba di rumah. Usaha-usaha itu perlu kita lakukan bersama. Jadilah kita pemutus rantaian yang sangat berleluasa kini. Caranya dengan kita tetap duduk di rumah dan sentiasa menjaga kebersihan sehingga negara kita capai kemenangan yang sebenarnya iaitu bebas daripada pandemik Covid-19 yang melanda ini.
-Suara Rakyat

0 ulasan:

Catat Ulasan