Jumaat, 14 Mei 2021

MB, Exco Terengganu Sumbang Sebulan Gaji Untuk Palestin

 


KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan Terengganu bersetuju memotong sebulan gaji untuk disalurkan ke Tabung #Aid4Palestine.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha itu turut mendapat sokongan wakil rakyat penyokong kerajaan (backbenchers) apabila mereka menyumbang sebanyak RM3,000 seorang.

"Manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi dana dengan bantuan terkumpul setakat ini adalah sebanyak RM100,000.

"Ini komitmen serta solidariti kerajaan negeri dalam membantu saudara kita di bumi Palestin yang sememangnya terkesan dengan kekejaman zionis Israel," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sedang giat menggerakkan kempen bagi meningkatkan lagi kutipan dana untuk Palestin.

"Ini dilakukan mengikut NGO yang ada di Terengganu ,supaya ia memudahkan seluruh rakyat untuk sama-sama menyumbang.

"Di kesempatan ini juga saya menyeru kepada pihak-pihak seperti syarikat swasta, NGO dan rakyat untuk menyumbang demi kebaikan penduduk Palestin," tambah beliau.

Pada 12 Mei lalu, Kerajaan Malaysia menubuhkan sekretariat #Aid4Palestine bagi menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin dan menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perkembangan terkini yang berlaku di Palestin dengan serangan berterusan oleh regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam.

-trdi.my

0 ulasan:

Catat Ulasan