ALOR GAJAH: Solat sunat Aidilfitri di Melaka dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau negeri ini mengikut kapasiti keluasan ruang institusi berkenaan.
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, bagaimanapun jemaah dilarang sama sekali merentas ke kariah lain bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri esok.
"Jika masjid atau surau di kawasan kariah berkenaan sudah mencapai kapasiti penuh, kariah terbabit dilarang merentas ke kariah lain.
"Kita menasihatkan tidak ada yang curi- curi dari kampung sebelah pergi ke kampung sebelah, ini (masjid/ surau) adalah khusus untuk komuniti setempat," katanya selepas Program Pencerapan Anak Bulan Syawal di Kompleks Falak Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, petang semalam.
Beliau berkata, khemah atau ruang tambahan tidak dibenarkan di setiap masjid atau surau bagi menampung kapasiti jemaah.
"Kebenaran ini dipersetujui dalam mesyuarat yang diadakan di antara Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) semalam.
"Setiap jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya solat dalam jarak 1.5 meter antara satu sama lain, memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri serta mendaftar MySejahtera," katanya.
Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, selain tidak membenarkan jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, warga asing juga tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau mahupun masjid.
"MAIM turut mengehadkan takbir Aidilfitri sehingga jam 10.30 malam pada hari terakhir Ramadan di semua surau dan masjid seluruh Melaka.
"Selain itu, MAIM hanya membenarkan aktiviti ziarah kubur dengan hanya enam orang untuk tempoh 30 minit bagi setiap pusara," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan