Johor Bahru: Harga daging lembu segar di sekitar bandar raya ini dijual pada RM45 sekilogram, berbanding harga siling RM34 sekilogram yang ditetapkan kerajaan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP).
Tinjauan di pasar awam di Pandan dan Tebrau mendapati orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan daging segar tempatan namun terkejut dengan harganya yang melonjak berbanding harga siling.
Namun bagi peniaga daging, Hafizul Mohamad, 39, berkata harga daging segar terpaksa dijual tidak mengikut SHMMP kerana harga siling RM34 sekilogram yang ditetapkan itu adalah harga kos peniaga.
"Harga kawalan daging segar yang ditetapkan RM34 sekilogram adalah tidak munasabah dan menzalimi peniaga.
"Kami dapat daripada pembekal pun antara RM31 hingga RM34 sekilogram, jadi macam mana nak jual kepada pembeli RM34 sekilogram jika langsung tiada untung.
"Saya menjual daging segar RM45 sekilogram manakala daging batang pinang pula RM48 sekilogram.
"Memang ada peniaga yang jual daging segar RM34 sekilogram atau lebih murah namun sebenarnya mereka campur dengan daging sejuk beku dan itu lebih tidak beretika dan menipu pembeli," katanya ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut, Hafizul berkata, dia dan pekerjanya sering dimarahi pembeli kerana tidak mengikut harga kawalan namun pengguna akur selepas tidak mahu membeli daging sejuk beku yang lebih murah.
"Kami turut menjual daging sejuk beku yang dijual mengikut gred dan bahagian dari RM22 hingga RM34 sekilogram, namun kebanyakan pembeli mahu daging segar.
"Bagaimanapun, pembeli terpaksa membeli mengikut bajet mereka," katanya.
Sementara itu, bagi pengguna, Syahreezad Ramli, 40, dia terkejut kerana harga daging segar tempatan melonjak kepada RM45, beberapa hari menjelang Aidilfitri.
"Saya jangkakan harganya dalam julat antara RM34 hingga RM38 sahaja namun terkejut ia dijual sehingga RM45 sekilogram.
"Namun saya sebagai pengguna tiada pilihan kerana keluarga saya memang tidak lagi makan daging sejuk beku. Daging segar juga diperlukan untuk membuat rendang di pagi raya," katanya.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan