Kuala Lumpur: Potret bersama keluarga menyambut Aidilfitri tahun ini menjadi kenangan terakhir buat Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran apabila kehilangan insan tersayang, ibu bapa dan adiknya yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Bapanya, Amran Sadon, 56, dan ibunya, Hasminah Parmin, 57, meninggal dunia Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Hospital Cancelor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini, Khamis lalu.
Manakala, adiknya Muhammad Luqman Idham Amran, 20, pula menghembus nafas terakhirnya jam 6 pagi hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Lebih menyedihkan, Siti Nurul berkata, arwah orang tuanya juga tidak sempat meninggalkan pesanan buat dirinya selepas dimasukkan ke hospital.
Menurutnya, arwah ibu dan bapanya disahkan positif Covid-19 pada 17 Mei lalu selepas menjalani ujian calitan sehari sebelum itu.
"Sepanjang Ramadan lalu mereka ada mengerjakan solat tarawih di surau berhampiran rumah kami di Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi dan kemungkinan mendapat jangkitan daripada situ.
"Selepas mengetahui mereka positif saya dan adik-beradik membuat ujian sama namun hanya adik yang disahkan positif manakala saya negatif," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berkata, ibunya dihantar ke HCTM pada petang Khamis lalu kerana keadaannya yang semakin teruk ketika itu.
"Namun apabila saya memberitahu arwah ayah, emak semakin kritikal, tiba-tiba ayah mengadu sesak nafas sebelum kami menghubungi ambulans dan dia dihantar ke hospital sama pada sebelah malam.
"Namun mereka gagal diselamatkan dan meninggal dunia keesokannya dan yang ralatnya, mereka tidak sempat meninggal apa-apa pesanan buat saya," katanya.
Katanya, adiknya yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh juga hilang semangat apabila mengetahui ibu bapanya sudah tiada.
"Namun tidak sangka hari ini adik pula pergi meninggalkan kami.
"Saya bersama anak buah, adik ipar juga perlu menjalani kuarantin sehingga 30 Mei ini selepas menjalani ujian calitan jam 10 pagi tadi," katanya.
Katanya, dia berharap dirinya dan keluarga adiknya tidak dijangkiti Covid-19.
"Arwah orang tua saya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Sungai Besi sekitar jam 4 petang Jumaat lalu sementara adik dikebumikan jam 1 tengah hari tadi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan seorang anggotanya kini menjalani kuarantin selepas ibu bapa dan adiknya meninggal dunia akibat Covid-19.
"Anggota polis terbabit sudah dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia Cheras untuk menjalani ujian calitan.
"Setakat ini, IPD beroperasi seperti biasa dan kawasan ini memang sentiasa disanitasi bagi mengelakkan penularan Covid-19," katanya.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan