Isnin, 10 Mei 2021

Bila janda, ada yang pandang serong – Fiza Halim


KUALA LUMPUR: Kembali bergelar janda selepas perkahwinan ketiganya bersama seorang juruterbang turut gagal, bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim, 43, tidak menolak wujud pandangan serong pelbagai pihak terhadap dirinya.

Menurut Fiza, status tersebut masih begitu tabu dalam kalangan masyarakat dan apalagi, dirinya pula sudah tiga kali akur ditakdirkan menjanda.

“Saya sedar bila sudah tiga kali jadi janda ini, pasti ada yang akan memandang serong. Namun saya hanya manusia biasa, yang tak lepas diuji. Saya tak hidup dek puji, tak mati dek keji,” katanya.

Fiza berkata demikian semasa mengulas desas-desus sebelum ini yang mendakwa dirinya sudah tidak lagi bergelar isteri kepada duda beranak dua, Aizat Al-Jefri.

Selain itu, sedar bahawa ramai tertanya-tanya mengenai kesahihan perkara tersebut, Fiza mengaku dia terpaksa berdiam diri terlebih dahulu dan mengambil masa untuk mendedahkan hal itu kepada umum.

“Ketahuilah, bahawa ia bukan sesuatu yang mudah. Hanya saat ini saya ada kekuatan untuk mendedahkan status diri. Ya, Kami bercerai talak satu dan berstatus solo sejak 22 Julai tahun lalu. Saya diceraikannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tetapi maaf, saya tak dapat nak kongsikan apa punca atau sebab kenapa kami berpisah. Biarlah saya simpan dan tanggung sendiri sebab tak mahu membuka aib sesiapa,”katanya.

Dalam pada itu, Fiza bersyukur kerana bekas suami pertamanya, Ahmed Farriq Zainul Abidin tidak lepas memberi sokongan terutama dalam menjaga dua anak mereka, Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.

“Kedua-dua anak kami tinggal bersamanya. Tak apalah, rasanya lebih terjamin hidup anak-anak dengan bekas suami. Farriq pun adalah sesekali mengambil berat dan bertanya keadaan saya. Itu saja,” katanya.

Fiza bernikah dengan suami ketiganya Aizat sekitar Disember 2016 dan menerusi perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan cahaya mata Baby Aleena yang kini berusia hampir tiga tahun.

Sebelum Aizat, Fiza pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013 tetapi perkahwinan kedua juga tidak bertahan lama.

Empat tahun sebelum itu, Fiza merupakan isteri kepada Fariq sebelum sama-sama membuat keputusan untuk berpisah pada 4 November 2010

-Utusan Online

0 ulasan:

Catat Ulasan