“Walaupun Aku Muslim, Tapi Burkina Faso Tidak Akan Sekali-Kali Menjadi Negara Islam”
Oleh: Fahrin Azri
Baru-baru ini, Ibrahim Traoré telah membuat satu kenyataan yang buat ramai orang tercengang.
Presiden Burkina Faso telah mengatakan bahawa walaupun beliau “sendiri seorang Muslim, tapi beliau jamin negaranya tidak akan sekali-kali menjadi negara Islam.”
Ibrahim Traoré juga telah menuduh sebilangan ulama telah membawa fahaman ekstrim yang boleh membarah dan boleh hancurkan seluruh negara kalau tidak dibendung.
Dalam ucapan di hadapan penduduk wilayah Yaadga itu, beliau juga tuduh golongan minoriti “ekstremis” ini menyumbang kepada ketidakstabilan.
Beliau juga sekaligus memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ulama yang sebarkan fahaman radikal.
Ini terbukti apabila kerajaan Traoré juga dilaporkan sudah mula gantung sesi berkhutbah sesiapa yang cakap sesuka hati tanpa kawalan.
Ini telah menunjukkan dasar ini memang hendak dan akan dilaksanakan secara serius di lapangan.
Di samping itu, Traoré juga isytihar undang-undang Islam tidak akan sekali-kali menjadi asas pentadbiran negaranya.
Beliau nyatakan perlembagaan Burkina Faso mengatasi semua agama.
Tambahannya lagi, Traoré juga risau dengan generasi muda yang balik dari belajar di Arab Saudi lalu cuba memaksa fahaman “Islam radikal” menurutnya, yang dipelajari ke atas masyarakat.
Kenyataan ini sekaligus menolak terus sebarang cadangan syariah diguna pakai dalam sistem kehakiman atau pentadbiran awam negara itu.
Bagi Traoré, perlembagaan negara adalah autoriti yang tertinggi, bukan mana-mana agama.
Dan, satu lagi dasar yang buat heboh dunia Muslim ialah rancangan bawa pulang ratusan pelajar Burkina Faso yang belajar di negara Arab.
Menurut data terkini, kira-kira lebih 800,000 rakyat Burkina Faso sedang belajar di luar negara, khususnya negara-negara Arab. Hampir 2,000 dari mereka sahaja belajar di Arab Saudi.
Dan, kebanyakan mereka belajar bidang-bidang syariah serta undang-undang Islam tanpa sebarang kemahiran profesional lain.
Traoré melihat bahawa ini merupakan satu masalah besar buat Burkina Faso.
Beliau terus menyoal secara terus apa sebenarnya yang dipelajari golongan ini, dan jawapannya hanyalah syariah, undang-undang Islam dan fiqh, tanpa satu pun kemahiran profesional yang boleh sumbang kepada pembangunan negara.
Beliau juga bahkan berkata bahawa mereka diarahkan untuk balik, atau mereka akan hilang kerakyatan Burkina Faso.
Objektif yang hendak dibawa Traoré jelas.
Beliau ingin pelajar ini balik dan menyumbang tenaga dalam bidang sains dan teknologi, bukan menjadi lagi seorang alim tanpa kemahiran praktikal untuk bina ekonomi negara.
Dan, ada lagi satu lagi langkah Traoré yang sebenarnya benar-benar menggemparkan dunia Islam.
Presiden ini telah bertindak dengan membuka jalan hubungan diplomatik dengan Israel, sesuatu yang jarang dilakukan pemimpin Afrika yang dikenali dengan retorik anti-Barat.
Pada 26 Jun 2026, Traoré terima surat kepercayaan dari Simon-Clément Seroussi, duta besar baharu Israel untuk Burkina Faso.
Majlis ini secara rasmi mengesahkan hubungan diplomatik antara dua negara yang selama ini kekal senyap tanpa kedutaan tetap.
Sebenarnya Burkina Faso adalah satu-satunya anggota gabungan AES yang secara rasmi mengiktiraf Israel, walaupun tak pernah ada kedutaan atau konsulat tetap di bumi Burkina Faso.
Kalau sebelum ini, rakyat Burkina Faso perlu pergi ke kedutaan Israel di Abidjan, Côte d'Ivoire untuk urusan visa dan konsular.
Yang buat lebih menarik, langkah ini berlaku serentak dengan Burkina Faso putuskan hubungan diplomatik dengan bekas penjajah, Perancis.
Kerajaan Traoré beri tempoh tujuh hari kepada Perancis untuk tutup kedutaan di Ouagadougou pada masa yang sama duta Israel terima pengiktirafan rasmi.
Lantas, dasar-dasar yang dibuat Ibrahim Traoré akhirnya menimbulkan dua pandangan yang berbeza.
Bagi sesetengah penganalisis, langkah ini menunjukkan dasar luar Traoré makin pragmatik walaupun beliau terus mempertahankan imej anti-imperialis.
Tetapi bagi golongan lain pula, dasar ini membuka persoalan besar tentang ke mana sebenarnya arah pemikiran seorang pemimpin yang naik populariti sebagai simbol perjuangan dunia Muslim Afrika.
Semua langkah ini sekaligus membentuk gambaran seorang pemimpin yang cuba pisahkan agama daripada urusan negara secara total.
Sama ada ini langkah bijak demi kestabilan negara atau langkah yang akan renggangkan sokongan rakyat Muslimnya sendiri, masa yang akan tentukan.
Sebenarnya, Burkina Faso bukan satu-satunya negara yang dipimpin Muslim tetapi isytiharkan dirinya sebagai sekular. Kalau korang nak tahu lebih lanjut, dapatkan GEOPOLITIK DUNIA ISLAM dengan segera!
Eksklusif hanya di The Patriots.
Link Shopee: https://s.shopee.com.my/70Hj557Ipl
Link Webstore: http://bit.ly/43x2VGQ













0 ulasan:
Catat Ulasan