Isnin, 10 Mei 2021

Covid19: Arab Saudi benarkan haji dengan syarat khas

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

JEDDAH: Arab Saudi dijangka membenarkan ibadah haji tahun ini, dengan mengenakan beberapa syarat khas bagi melindungi daripada penularan pandemik COVID-19.

Menurut Kementerian Haji dan Umrah, perbincangan sedang dilakukan bagi membolehkan umat Islam menunaikan ibadah itu buat pertama kali tahun ini sejak wabak itu melanda.

Antara perkara yang dibincangkan adalah membenarkan sejumlah kecil jemaah menunai ibadah haji dengan peraturan kesihatan yang ketat bersama langkah berjaga-jaga, lapor Arab News.

"Keputusan itu berdasarkan kesungguhan kerajaan untuk membenarkan tetamu di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi menunaikan haji dan umrah.

"Kerajaan sentiasa meletakkan kesihatan dan keselamatan jemaah sebagai perkara utama," menurut kementerian itu.

Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi masih membincangkan dan membuat penilaian mengenai syarat yang akan ditetapkan dan sebarang perkara lanjut akan dimaklumkan menerusi standard dan kawalan kesihatan COVID-19.

Ibadah haji tahun ini dijangka bermula pada 17 Julai ini.

Sebarang maklumat mengenai pelan operasi ibadah haji tahun ini akan dimaklumkan kemudian.

Bagi menjamin keselamatan dan kesihatan penduduk, hampir separuh juta pemeriksaan dilakukan bagi memastikan langkah berjaga-jaga diambil oleh peniaga serta tempat kerja.

Kementerian haji juga sebelum ini memaklumkan semua petugas bagi musim haji tahun ini perlu menjalani vaksinasi.

Tahun lalu, kira-kira 1,000 jemaah dibenarkan menunaikan ibadah haji dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat antaranya mengamalkan penjarakan fizikal selain menempatkan pasukan perubatan di lokasi berkenaan. - AGENSI

-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan