Isnin, 3 Mei 2021

Covid19:Kenapa penerbangan dari India masih dibenarkan mendarat di KLIA? - Hassan Karim

 


POSTED BY AMIR WRLR


Kerajaan Malaysia memutuskan mulai 28 April lalu untuk menyekat semua penerbangan keluar atau masuk dari India berikutan lonjakan kes Covid 19 sehingga 200,000 kes sehari di negara itu.

Namun sebaliknya, rekod penerbangan di KLIA sehingga semalam menunjukkan masih terdapat pesawat dari India yang masih dibenarkan mendarat.

Hal itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai ketegasan kerajaan mengawal merebaknya varian baharu virus Covid 19 yang kini melumpuhkan sistem kesihatan di India.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tindakan membenarkan pesawat dari India mendarat jelas berisiko tinggi dan mengingkari keputusan yang dibuat kerajaan sendiri.

"Kerajaan telah buat keputusan penerbangan dari India tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Jadi, saya ingin penjelasan dari Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yacob adakah benar laporan media yang menyatakan sejak semalam, Sabtu, 1 Mei 2021 sekurang-kurangnya tujuh penerbangan dari India telah mendarat di KLIA?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Jadual penerbangan dari India ke Malaysia

Hassan turut membariskan beberapa maklumat penerbangan yang dilaporkan media. Misalnya, pada 2 Mei 2021, tiga pesawat dari India dilaporkan telah mendarat.

Urutan penerbangan, MH6241 dari Chennai mendarat 4.45 petang; MH190 dari New Delhi mendarat 6.50 petang dan MH6245 dari Mumbai mendarat 8.35 malam.

Bagi Hassan, sekiranya kerajaan tidak serius menguatkuasakan larangan penerbangan maka tidak mustahil virus baharu Covid yang lebih ganas akan menyebar dari India ke Malaysia.

"Penjelasan dari Menteri Ismail Sabri Yacob adalah penting untuk meredakan kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan penularan varian baharu Covid-19 dari India ke negara ini," katanya lagi.

Pada 26 April lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri dalam kenyataannya berkata, mana-mana pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit dilarang memasuki Malaysia.

Turut dikenakan sekatan ialah pekerja asing dari India yang mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih sah laku, pelajar warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa.

Prosedur sama terpakai untuk bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia.

Sebelum ini, akibat penerbangan masuk dari India yang tidak disekat, Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari negara itu dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya memaklumkan mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara, KLIA.


0 ulasan:

Catat Ulasan