Kajang: Kedatangan Syawal memberi rezeki berganda buat Sharuddin Mohd Rahim apabila menerima tempahan 55,000 batang lemang pada tahun ini.
Sharuddin, 50 berkata, jumlah itu meningkat berbanding 40,000 tempahan diterima tahun lalu dan 20,000 pada 2019.
Bapa kepada enam anak itu berkata, selain pelanggan tetap, tempahan itu diterima daripada orang ramai menerusi laman sosial iaitu Facebook (FB) dan Instagram (IG).
Katanya, ada pelanggan datang secara terus ke gerainya untuk membeli lemang dijualnya dengan harga RM13 bagi saiz M, RM15 untuk L dan RM17 (XL).
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan pada masa sama terkejut apabila menerima tempahan lebih banyak pada tahun ini.
"Peningkatan jumlah tempahan itu kemungkinan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana jualan lemang saya mula memberangsangkan sejak tahun lalu.
"Rata-rata pelanggan membeli kerana tahu saya berniaga di sini setiap hari, bukan ketika Ramadan saja selain mahu menikmati lemang di pagi raya walaupun tidak pulang ke kampung.
"Ini dinamakan rezeki buat saya, keluarga dan kakitangan menjelang Syawal," katanya ketika ditemui di gerainya yang dinamakan Lomang Paneh Nogori di Sungai Merab, di sini.
Sharuddin berkata, pengalaman tahun lalu menyebabkan dia lebih bersedia untuk menyiapkan tempahan yang banyak pada tahun ini.
Menurutnya, dia dibantu 17 individu terdiri daripada ahli keluarga dan kakitangan.
"Kerja menyediakan dan membakar lemang bermula 7.30 pagi semalam dan akan diteruskan sehingga 10 malam esok.
"Selain menyiapkan tempahan, saya turut menyediakan 18,000 batang lemang untuk pelanggan yang datang terus ke gerai, cuma jumlah itu terhad jadi siapa cepat, dia yang dapat.
"Selain menjual lemang, saya turut menjual rendang ayam, daging lembu dan maman pada harga RM10, RM12 dan 14 untuk 200 gram," katanya yang berniaga lemang sejak 17 tahun lalu.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan