GEORGETOWN: Seluruh masjid dan surau di Pulau Pinang dibenarkan melaksanakan solat sunat Aidilfitri esok secara penggiliran melibatkan tiga sesi dengan setiap sesi selama 45 minit.
Sesi pertama akan bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 9.15 pagi; sesi kedua pada 9.45 pagi hingga 10.30 pagi manakala sesi ketiga pada 11 pagi hingga 11.45 pagi.
Selang masa selama 30 minit bagi setiap sesi itu pula adalah bagi tujuan proses sanitasi dan persediaan jemaah untuk sesi solat sunat Aidilfitri seterusnya.
Selain itu, imam yang ditentukan oleh pihak pengurusan masjid pula perlu imam yang berlainan bagi setiap sesi manakala perhimpunan sama ada selepas atau sebelum setiap sesi adalah tidak dibenarkan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Bagaimanapun menurut beliau, penggiliran sesi solat sunat Aidilfitri itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (PKP) 3.0 yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini iaitu hanya 50 jemaah di masjid dan 20 jemaah di surau bagi setiap sesi.
Tambahnya, ahli-ahli kariah boleh berhubung dengan pihak pengurusan masjid dan surau masing-masing bagi tujuan pendaftaran dan penentuan sesi penggiliran untuk solat sunat Aidilfitri tersebut. – UTUSAN ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan