Ahad, 30 Mei 2021

BELASUNGKAWA: Tan Sri Dato' Seri Dr Haji Harussani Zakaria - Mufti Perak Ke-8 ( 1939 - 2021 )

Oleh : Tengku Yusuff

Tan Sri Dato' Seri Dr Haji Harussani Bin Tuan Guru Haji Zakaria dilahirkan di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak pada 31 Julai 1939. Ayahnya, Tuan Guru Haji Zakaria adalah ulama' terkenal di kawasan Tanjung Piandang suatu ketika dahulu dan merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Hussin Parit Gabis. 

Kakaknya juga adalah seorang alimat yang mengajar kitab di Parit Buntar dahulu bernama Hajah Zainab. Beliau bersuamikan Tuan Guru Haji Muhammad Bin Tuan Guru Haji Mokhtar Sungai Labu.

Pendidikan beliau bermula di Sekolah Melayu Kampung Kedah, Parit Buntar, Perak dan Angklo Chinese School, Parit Buntar, Perak sehingga tamat. Pada tahun 1956 hingga tahun 1959, beliau menyambung pengajian di Madrasah Idrisiah. Kuala Kangsar, Perak dan seterusnya pada tahun 1959 hingga tahun 1960 di Kuliah al-Attas, Johor Bahru, Johor. Beliau juga telah menyambung pengajian di Kolej Islam Malaya, Klang, dan memperolehi Diploma Pendidikan, Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya. Di antara gurunya ialah Syeikh Haji Zubir Bin Ahmad al-Filfulani.

Perkhidmatan beliau dimulakan pada tahun 1964 di Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri sehingga tahun 1967. Beliau telah dilantik menjadi Qadhi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang pada tahun 1967 sehingga 1973 iaitu selama enam tahun. Di samping menjadi Qadhi, beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Maktab Perguruan Persekutuan Gelugur dari tahun 1968 hingga 1978 dan di Sekolah Latihan Pergigian Pulau Pinang selama lebih kurang 14 tahun iaitu pada tahun 1970 hingga 1984. 

Setelah itu, beliau telah dilantik sebagai Qadhi Besar di Jabatan Agama Pulau Pinang pada tahun 1973 hingga 1985. Setelah hampir 12 tahun menjawat jawatan tersebut, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1985 sehingga meninggal dunia pada 30 May 2021.

Tan Sri amat dikenali kerana penglibatan beliau yang meluas dalam masyarakat. Di antara jawatan beliau di peringkat negeri Perak ialah :

1.  Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak Darul Ridzuan (mulai Oktober 2000)

2. Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak

3. Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelaras Dakwah dan Pembelajaran Negeri

4. Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam

5. Ahli Jawatankuasa Majlis Keutuhan Negeri Perak Darul Ridzuan

6. Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak

7. Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

8. Ahli Lembaga Pengarah IDC Urus Ladang Sdn. Bhd. dan IDC Urus Sdn. Bhd

9. Yang DiPertua Persekutuan Seruan Islam Negeri Perak

10. Ahli Dewan Negara Negeri Perak

11. Ahli Tetap Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan

Di dalam peringkat kebangsaan pula, beliau pernah dilantik sebagai :

1  Ahli Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ugama Islam Malaysia

2. Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran (Kementerian Dalam Negeri)

3. Ahli Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

4. Ahli Majlis Pengawasan Syariah Takaful Nasional Sdn. Bhd

Beliau juga terlibat secara aktif dalam menyumbang kepada bidang keilmuan dengan menyertai beberapa persidangan, seminar dan dialog. Di antaranya adalah :

1. Persidangan Ulama' Nusantara: Islam di Alaf Baru: Menggaris Agenda Alaf Baru pada 26 November 1998

2. Pada 6 - 8 Mei 1994, beliau menghadiri Seminar Pemindahan Ginjal dan Cabaran dan Kemajuan yang dihadapi Islam di rantau ini yang diadakan di Singapura

3. Dialog Agama di antara penganut Islam, Yahudi dan Kristian pada tahun 1989 di Bendor, Jerman

4. Ceramah dan dialog bersama pelajar-pelajar di Washington, Amerika pada tahun 1996

5. Lawatan sambil belajar ke Negara-negara Timur Tengah dan Eropah anjuran Lembaga Perancang Keluarga Negara dari 1 hingga 9 Mac 1977

6. Menghadiri Muzakarah Ulama' Nusantara: "Islam di Alaf Baru: Menggaris Agenda Alaf Baru" pada 26 November 1998

7. Kursus Pendedahan di Muslim College of London, United Kingdom pada 10 Januari hingga 29 Jun 1989

Bagi menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh beliau dalam menyebarkan agama di Malaysia, beliau telah dianugerahi beberapa anugerah daripada kerajaan negeri dan peringkat pusat seperti :

1. Pingat Jasa Kebaktian (PJK) yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 1975

2. Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) pada tahun 1976 

3. Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1978 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang

4. Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP) pada tahun 1986 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak

5. Pingat Jaksa Setia Mahkota pada tahun 1994 oleh DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong

6. Pingat Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) pada tahun 1999 oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak 

7. Darjah Kehormat Doktor Syariah yang memberi gelaran Dr. oleh Tuanku Canselor Universiti Malaya, DYMM Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 2001

Tokoh yang memegang jawatan mufti paling lama dalam sejarah Malaysia iaitu selama 36 tahun ini meninggal dunia pada 30 Mac 2021 ketika berusia 82 tahun.

Moga Allah Taala merahmati roh Tan Sri. Amin

*Sumber - Buku Biografi Mufti-mufti Malaysia & Buku Pengenalan Madrasah Idrisiah

#KenaliUlamak

0 ulasan:

Catat Ulasan