Jumaat, 20 Februari 2026

“…kami benci dengan Muslim sebab suka hancurkan agama lain terutama Hindu..”

 “…kami benci dengan Muslim sebab suka hancurkan agama lain terutama Hindu..”

Prankaj ji

Oleh:Haikal Zulkefli

Antara ayat yang diungkapkan ketika mana saya berpeluang pergi ke India baru-baru ini untuk urusan  GSF 2.0. Ini pertama kali saya ke India sebenarnya, jadi perasaan ingin tahu memang lebih sikit.

Lagi pula kita tahu hubungan Muslim dan Hindu di India memang agak tegang. Banyak sudah kisah yang kita dengar tentang pertelagahan antara agama di negara tersebut.

Ketika mana saya ingin ke tempat mesyuarat untuk GSF 2.0 yang diadakan di sekitar tengah bandar Mumbai, saya buat pesanan untuk Uber bagi ke tempat pertemuan.

Bila dah naik Uber, kita pun tiba-tiba datang sifat ramah. Maka, berbuallah saya dengan pemandu Uber yang ambil saya. Nama pakcik tersebut ialah Prankaj. Saya gelar Prankaj ji.

Saya pun nak buat rasa lagi dekat, perkenalkan diri dalam Hindi,

“Namaste Prankaj ji”

“Mera naam Haikal, from Malaysia”

Bila saya sebut Malaysia, terus soalan dia tertumpu kepada kes kuil haram yang pada ketika itu memang tengah hangat. Saya tak jawab lagi, tapi bagi dia perkenalkan diri.

Prankaj ji adalah salah seorang anggota RSS, atau nama penuh pertubuhan ini ialah Rashtriya Swayamsevak Sangh, sebuah organisasi sayap kanan Hindutva yang promosikan agenda nasionalis Hindu di India.

Prankaj ji pada mulanya ingat saya ini adalah orang India yang menetap di Malaysia sebab dia kata tak nampak muka Melayu, macam ada darah campuran.

Bila saya kata saya Melayu dan Muslim, lagi banyak soalan yang diutarakan. Saya risau sebenarnya, rsau kita salah jawab.

Tapi sepanjang dalam kereta dengan Prankaj ji, saya terangkan bahawa kes kuil haram ini bukan sebab kami benci Hindu, tapi soal hak. Sama juga kalau Masjid, gereja atau tokong yang dibina atas tanah orang lain tanpa kebenaran, tetap kami lawan.

Dia juga tanya kenapa Muslim benci Hindu sebab dia kata Muslim di India rasis. Saya kata, tunjuk bukti di mana Muslim di India rasis melainkan kaum Hindu yang menceroboh dan memulau komuniti Muslim. 

Saya kata juga kepada dia, kalau nak kenal Islam itu bagaimana, lihat kepada kitab iaitu Al-Quran sebab kami tidak diajar untuk jadi ekstremis. Jangan lihat kepada sebahagian Muslim yang ekstrem kemudian kamu pukul rata bahawa Islam ajar sebegini.

Saya tambah lagi bahawa jangan termakan dakyah orang politik. Saya terangkan bahawa ketika mana BJP pimpinan Narendra Modi naik pada 2014, hampir 500 peratus ucapan kebencian (hate speech) daripada tahun 2014-2018.

Agak panjang juga perbualan kami, walaupun dah nak sampai tapi masih belum habis. Saya pun kata kepada Prankaj ji, Islam ajar kami untuk hormat semua agama tetapi tidak sehingga kami sanggup gadaikan iman atau prinsip kami jika ditekan banyak kali.

Saya suruh Prankaj ji pergi ke kawasan komuniti Muslim pada bulan Ramadan, supaya dia tahu bahawa Islam tidaklah seperti yang disangkakan.

Sebelum keluar kereta, dia ucapkan terima kasih dan berpelukan dengan saya. Dia kata ini kali pertama dapat dengan pandangan seorang Muslim tanpa sebarang kebencian. 

Moga-moga, adalah manfaatnya perbualan saya dengan dia. 

Terus sumud untuk sebarkan kedamaian dan perjuangkan pembebasan Plstn.

Source 

0 ulasan:

Catat Ulasan