Bimbang bergelar ‘janda’, seorang isteri sanggup bertahan dalam perkahwinan walaupun dipukul kerap kali.
Dahulu ada seorang wanita yang pernah saya jumpa di Mahkamah. Dia datang bersama dengan seorang rakan yang menemaninya untuk tanyakan prosedur cerai.
Jadi, kebetulan masa itu saya baru sahaja selesai urusan sebutan kes di Mahkamah tersebut, saya pun ditegur olehnya. Dari raut wajah, saya nampak mereka berharap benar untuk dapatkan nasihat.
Saya pun mengajak mereka untuk bersembang di bilik khas untuk peguam di Mahkamah. Seorang wanita yang dalam lingkungan umur 40 tahun dan seorang lagi 30an.
Wanita yang 30an tersebut membuka mulut dan menceritakan hal yang berlaku kepada dia. Rupanya yang meneman dia itu adalah kakaknya. Jadi, dia tidak ada masalah untuk memberikan peluang adiknya bercakap.
Kata wanita itu, dia telah lalui fasa perkahwinan yang sangat dasyat. 7 tahun perkahwinan dia dengan suami dikurniakan 2 orang anak. Suaminya adalah seorang kakitangan kerajaan yang berpangkat pegawai.
Masa awal kahwin, sikap suaminya sangat lembut tutur kata. Boleh dianggap seperti Suami Idaman Malaya lah katanya.
Tapi, selepas anak kedua dilahirkan, sikap suaminya mula berubah. Suaminya kerap naik suara apabila marah hanya kerana pinggan terjatuh kerana anaknya.
Kemudian, kemuncak pada perubahan sikap itu terjadi apabila suaminya sudah mula tampar wanita tersebut hanya disebabkan isteri ini mengadu tentang nafkah sahaja.
“Hang jangan kurang ajar. Aku dah sedia semua, apa lagi tak cukup?”
Inilah ayat yang dia dapat hanya kerana menyoal tentang nafkah yang tak cukup katanya.
Selepas itu, suami dia sering naik tangan memukul belakang kepala, dan pernah ditendang gara-gara anak bising menangis.
Pelik kan? Anak bising itu kan biasa? Tapi isteri pulak jadi ‘punching bag’
Tapi, dia tak pernah pun buat laporan polis apatah lagi mengadu kepada sesiapa. Kalau mereka balik kampung rumah keluarga, semuanya buat seperti biasa.
Wanita ini orangnya lemah lembut. Dia tak pernah pun melawan bila suaminya pukul. Katanya, dahulu dia belajar, “Syurga di bawah tapak kaki suami”. Itu yang ibunya pesan.
Jadi, dia takut untuk membuat aduan.
Saya pun geleng kepala. Terdiam. Dan hanya membiarkan wanita tersebut terus bercerita.
Boleh dikatakan, lebih daripada 10 kali dia ditendang di kaki dan belakang badan. Pernah sekali dia tak mahu keluar daripada rumah hingga seminggu lebih katanya sebab tak mahu orang nampak dia berjalan terjengket-jengket.
Anak-anak masih kecil. Mereka hanya mampu menangis bila peristiwa ini berlaku.
Saya tanya, takkanlah tak ada ribut ke taufan ke, tiba-tiba suami pukul? Katanya,”saya pun tak tahu lah tuan, kadang-kadang saya tengah baring sekejap, disepak belakang badan saya kerana disuruh saya masak nasi goreng. Sedangkan saya sudah siapkan nasi lauk yang lain”
Ya Allah. Macam tu pun ada.
Jadi, kenapa puan tak pernah mintak cerai sebelum ini?
“Saya bimbang, kalau saya diceraikan nanti, saya bergelar janda. Ramai orang akan pandang serong pada saya. Ibu bapa saya mesti tak percaya apa yang saya ceritakan.”
Kakak kepada wanita ini pun mula menyampuk, dia ternampak kesan lebam di muka adiknya sewaktu dia datang ke rumah untuk beri bekal makanan yang dikirim ibunya.
Dia desak adiknya untuk ceritakan hal sebenar. Akhirnya, dia mengaku. Suaminya kerap memukul dia walau tanpa sebab.
Kakaknya terus membawa dia keluar dan terus ke balai polis serta hospital untuk rawatan segera. Selepas pulang ke rumah keluarga, semuanya telah diceritakan dan ibu bapanya tidak menyangka suaminya yang nampak seperti seorang yang budiman, rupanya manusia bertopengkan syaitan.
Memang ada golongan isteri yang bimbang bergelar janda atau mungkin takut untuk bertindak kerana takut dikatakan nusyuz apabila lari keluar dari rumah.
✅ Adakah boleh isteri keluar rumah kerana dipukul suami?
Antara hak seorang isteri selain daripada nafkah adalah hak dilayan dengan cara yang ma’ruf. Iaitu suami berkata perkataan lembut dan tidak memukul dirinya.
Apabila hak itu gagal ditunaikan, maka hilanglah hak suami itu untuk ‘ditaati’. Ada dalam kalangan ulama’ menyenaraikan salah satu sebab isteri boleh keluar rumah jika takut bahaya menimpanya dalam rumah berkenaan.
Ibn Hajar Al-Haitami dalam Kitab Tuhfah Al-Muhtaj bi Sharh Al-Minhaj pernah menyebut, kalau suami ancam dengan pukulan tak wajar, isteri boleh keluar kerana takut akan ancaman tersebut.
✅ Adakah nusyuz kalau lari keluar tersebut?
Tindakan isteri keluar rumah tak dikira nusyuz. Bahkan, untuk sabit nusyuz, bukan datang daripada mulut suami. Tapi mesti datang daripada perintah Mahkamah.
Kalau keluar dari rumah dengan alasan ada ancaman merbahaya daripada suami seperti dipukul, ditampar, diacu pisau, suami ada penyakit kelamin merbahaya seperti HIV, atau mungkin kerana Covid19, maka isteri tak boleh dianggap nusyuz.
❤️ Kesimpulan,
Kisah yang saya kongsikan ini berlaku pada kebanyakan wanita diluar sana. Mungkin anda yang membaca ini sedang lalui atau pernah lalui sedemikian.
Ada yang bimbang dikatakan isteri derhaka. Tak cium syurga kalau buat laporan polis. Ada yang takut bila diugut jadi janda dan dirampas anak-anak.
Ingatlah, anda hidup di dunia ini bukan kerana tanggapan orang lain. Jangan kita malu hanya kerana bergelar janda, lalu kita rela menjadi hamba kepada suami durjana.
Islam tidak pernah meredhai dan merelakan wanita dipukul dan dizalimi. Islam juga tidak pernah melarang isteri yang teraniaya berpisah. Syurga bukan milik suami, tapi syurga itu milik Allah yang kuncinya hanya pada suami yang taat pada perintah Ilahi.
P/s : Lebih baik jadi janda, daripada kena seksa macam binatang.
Peguam Syarie
Anda ada pertanyaan? Boleh tanya disini
wasap.my/60126923897/NakTanyaSikit










0 ulasan:
Catat Ulasan