Kuala Lumpur: Malaysia berdepan risiko sistem kesihatan lumpuh sepenuhnya menjelang 5 Jun ini sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau 'total lockdown'.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia pilihan terakhir kerajaan berdasarkan sistem penanda aras Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang merekodkan kes harian membimba
Menurutnya, hospital mencapai kapasiti maksimum dengan kebarangkalian tinggi untuk lumpuh apabila purata kes baharu berada antara 8,001 sehingga 13,000 sehari.
"Kita bentangkan pelan kontingensi dan pengurusan Covid-19 pada mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak awal Mei lagi, apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt meningkat antara 1.1 hingga 1.2.
"Pada penghujung Mei lalu, kita sudah mencapai tahap ketiga dengan kes tertinggi direkodkan sebanyak 9,020 kes dan itu adalah amaran untuk kita melaksanakan perintah kawalan pergerakan secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas bersama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, KKM sudah mengambil beberapa tindakan ketika di tahap dua (kes harian 4,000 hingga 8,000) iaitu mengenal pasti lebih banyak hospital dan menukar fungsi wad biasa kepada wad Covid-19.
Beliau berkata, apabila berada pada tahap tiga hanya pemberian rawatan paliatif untuk pesakit berkemungkinan rendah sembuh dengan tidak memasukkan mereka ke unit rawatan rapi (ICU) sebaliknya memberi keutamaan kepada pesakit berkemungkinan sembuh serta mewujudkan kemudahan rawatan di luar hospital.
"Apa yang dibimbangi jika kes mencapai tahap empat iaitu purata kes harian melebihi 13,000. Ketika itu status penularan jangkitan adalah tinggi dengan keupayaan untuk respon rendah," katanya.
Katanya, negara berdepan peningkatan penularan jangkitan yang berpunca daripada pelbagai varian baharu, iaitu Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria.
0 ulasan:
Catat Ulasan