Khamis, 27 Jun 2024

Banyak pasukan sepakat tarik diri Liga Super?

Beberapa pasukan Liga M dikhabarkan akan menarik diri daripada liga anjuran MFL.

KEMELUT kontroversi melanda pasukan Selangor FC dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kebelakangan ini semakin hangat diperkatakan peminat dan pemerhati sukan tanah air.

Ia susulan penarikan diri skuad Gergasi Merah daripada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor bulan lepas ekoran kes simbah asid yang melanda pemainnya, Faisal Halim.

Bertitik tolak daripada itu, arena bola sepak tanah air berdepan cabaran besar apabila isu berkenaan dijangka akan dibawa ke muka pengadilan dan kemungkinan dibawa sehingga ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas pelbagai saluran lain tidak menampakkan penyelesaian.

Terbaharu, khabar angin di laman sosial hangat membicarakan penarikan beberapa pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Difahamkan, hampir kesemua pasukan bertanding dalam Liga Super 2024 sepakat untuk menarik diri dari liga anjuran MFL, dan akan menganjurkan kejohanan sendiri yang lebih bebas serta mesra kepada penyokong.

Ini sekali gus membiarkan hanya sebuah pasukan sahaja yang bakal bertanding dalam Liga Super dan akan membuatkan Liga Malaysia digantung dan dilarang dari menyertai sebarang kejohanan Asia termasuk AFC Champions League Elite (ACL Elite).

Berita itu mendapat perkongsian ramai peminat bola sepak tanah air di laman Facebook dengan ia dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada MFL berhubung isu penarikan pasukan berkenaan.

2769745


Selangor FC berdepan denda RM100,000 daripada MFL.

Untuk rekod, Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa pasukan itu tidak teragak-agak untuk menarik keluar daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

Ini kerana titah Sultan Sharafuddin, hukuman yang dijatuhkan MFL iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal.

Malah titah baginda, ia amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan. — Majoriti

0 ulasan:

Catat Ulasan