Khamis, 1 Julai 2021

'Tidak wajar kibar bendera putih jika perlu bantuan' - Mufti

 FOTO HIASAN

FOTO HIASAN

Georgetown: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi bagi menagih bantuan.

Tindakan berkenaan dianggap sebagai tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor berkata, bagi umat Islam khususnya, perlulah memahami bahawa sikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan serta kesempitan hidup adalah dilarang.

Katanya, seseorang yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kepada kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah SWT.

"Masih banyak cara lain bagi mendapat bantuan dalam mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh pandemik ini.

"Selain bantuan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan dan negeri, terdapat juga daripada badan dan agensi tertentu seperti Pusat Pengurusan Zakat negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta selain sumbangan individu," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Wan Salim mengulas mengenai kempen kibar bendera putih di hadapan rumah sekiranya terputus bekalan makanan.

Kempen yang disambut baik pengguna media sosial itu bermatlamat membantu individu yang terkesan akibat Covid-19 namun malu menyatakannya secara terbuka.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, pihaknya juga menyeru supaya usaha intensif dan agresif perlu ditingkatkan lagi oleh pihak berwajib bagi membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan terjejas ini.

Syarikat GLC dan swasta juga diseru supaya menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terbabit.

"Wakil rakyat di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara golongan memerlukan dengan pihak yang memberi bantuan.

"Kemungkinan mereka ini tidak tahu cara atau kaedah bagi memohon bantuan daripada pihak berkaitan," katanya.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan