𝗠𝗘𝗡𝗢𝗟𝗔𝗞 𝗖𝗔𝗗𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗟𝗘𝗧𝗔𝗞𝗞𝗔𝗡 𝗟𝗘𝗠𝗕𝗔𝗚𝗔 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗗𝗜 𝗕𝗔𝗪𝗔𝗛 𝗦𝗘𝗟𝗜𝗔𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗡𝗞 𝗡𝗘𝗚𝗔𝗥𝗔 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔
- Berhubung dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, pertamanya, PEMBELA mengalu-alukan persetujuan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti dapatan pengauditan perunding-perunding untuk tempoh 2014 hingga 2018.
Walaubagaimanapun, PEMBELA menuntut agar:-
i. Skop siasatan ini di luaskan sehingga 2020; dan ii. Hasil siasatan nanti dapat didedahkan kepada masyarakat umum bagi memastikan ketelusan dan tindakan yang sewajarnya diambil bagi memulihkan keyakinan pendeposit.
Kenyataan itu juga telah menyatakan bahawa kerajaan akan menyenaraikan “Lembaga Tabung Haji (LTH) sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan (prescribed Islamic financial institution) di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM)”. Cadangan ini katanya adalah bertujuan “…untuk menambahbaik pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) secara menyeluruh.” Pindaan juga akan dibuat terhadap Akta Tabung Haji 1995.
PEMBELA tidak ada masalah dan menyokong penuh segala usaha kerajaan bagi menambah baik pengurusan LTH. Namun cadangan untuk meletakkan LTH di bawah seliaan BNM akan memberikan implikasi yang negatif kepada masa depan dan nasib pendeposit serta menimbulkan beberapa persoalan penting yang memerlukan penjelasan iaitu:-
i. Tidak ada penjelasan terhadap frasa-frasa dari Akta Tabung Haji 1995 yang akan dipinda seperti yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut. Ini membimbangkan rakyat kerana adakah nanti pindaan ini akan menjejaskan kepentingan lebih 9 juta pendeposit itu?
ii. LTH adalah sebuah institusi yang ditubuhkan untuk bukan sahaja sebagai tempat orang Melayu menyimpan wang mereka tetapi juga satu institusi yang membina kekuatan ekonomi orang Melayu. Dengan meletakkan LTH di bawah BNM, adakah fungsi ini dapat dimainkan atau apakah ianya akan dikekang disebabkan oleh peraturan yang ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013?
iii. Umum mengetahui bahawa kakitangan BNM tidak semuanya orang Islam. Adakah akhirnya sebuah institusi Islam akan diurustadbir oleh orang bukan Islam? Apakah kepentingan umat Islam dapat difahami dan dijamin jika ianya ditadbir oleh bukan Islam?
iv. Status LTH adalah lebih besar dari hanya sebagai sebuah institusi kewangan seperti yang dijelaskan dalam perkara (ii) di atas. Apakah dengan menyenaraikan LTH sebagai sebuah “institusi kewangan Islam yang ditetapkan” akan merendahkan statusnya menjadi seperti sekadar sebuah bank? Walhal LTH sudahpun memiliki Bank Islam sebagai sebuah syarikat subsidiari?
v. Dengan menukarkan penyeliaan kepada BNM, adakah bermaksud bahawa pengurusan LTH sudah tidak lagi mampu untuk mengurustadbir LTH secara telus dan berintegriti? Jika benar, kenapa tidak diganti anggota-anggota Lembaga Pengarah yang ada dan melantik mereka-mereka yang benar-benar layak? Jika campurtangan politik menjadi isu, maka apakah tidak boleh diletakkan syarat di dalam Akta LTH bagi melarang penglibatan orang politik? Ertinya, ada langkah-langkah alternatif yang boleh dilakukan selain dari menyerahkan LTH kepada BNM.
vi. Apakah dengan penyeliaan oleh BNM nanti, LTH masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam pelbagai sektor seperti hartanah, pertanian, ekuiti dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam dan bangsa Melayu, atau apakah ianya akan disekat oleh BNM kerana pelbagai frasa-frasa yang terkandung di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 itu?
- Berdasarkan senario di atas, PEMBELA khuatir langkah ini akan memberikan impak yang negatif kepada nasib pendeposit. Oleh itu, PEMBELA mendesak agar kerajaan untuk menolak cadangan menyerahkan seliaan LTH kepada BNM bagi menjaga kepentingan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia ini.
Hj. Aminuddin Yahaya Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) 17 Julai 2021
0 ulasan:
Catat Ulasan