RASUAH tidak mengenali sesiapa, sama ada dia nampak alim atau tidak. Tepuk dada tanya iman.
Alim, berlatarbelakangkan agama tidak semestinya tidak rasuah.
Banyak sudah yang kita jumpa, berkopiah, berjubah, berserban, nampak baik, mulut tidak putus-putus menyebut nama Allah dan RasulNya, rasuah juga. Tidakkah ini lebih memalukan? Yang bukan dalam kalangan ustaz, janganlah cerita.
Sedihnya, yang mengambil rasuah rata-rata beragama Islam. Orang yang tahu syurga dan neraka, halal dan haram. Pemberi rasuah, semua tahu siapa?
Negara maju, seperti negara Barat. Mereka tidak alim, Islam pun tidak, tetapi mereka berpegang kepada integriti, kadar rasuah mereka begitu rendah.
Jika ada yang disabitkan dengan rasuah atau salah guna kuasa, tidak payah disuruh berhenti, dia akan berhenti sendiri, letak jawatan. Ini sudah menjadi budaya Barat.
Berbeza dengan negara Islam, termasuk negara kita sendiri, disabitkan satu hal, didakwa dengan puluhan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Masih lagi muka tak malu, terus mahu berkuasa. Langsung tidak rasa bersalah. Nak kata macam mana.
Kita menjadi hairan, kenapa Islam yang menjadi jaguh (champion) dalam membenteras rasuah, terkenal dengan kata-kata keramat, pemberi dan penerima, kedua-duanya masuk neraka. Tidak ada dalam agama lain, dalam soal ketegasan rasuah, kecuali Islam.
Malangnya, negara Islam dan orang Islamlah antara yang kuat rasuah dan salah guna kuasa. Silapnya di mana?
Jika tidak percaya, cuba tengok indeks rasuah dalam kalangan negara-negara di dunia, rata-ratanya adalah negara Islam, orang Islam. Negara kita tidak terlepas.
Berlaku di sebuah universiti awam, orang yang mendakwa dirinya mengamalkan sifat-sifat ikram, mahu menjadikan dakwah sebagai teras kehidupan, berlatar belakang agama, pun tewas, telah disabit dengan tindakan, atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Tengok muka dan perwatakannya, sikit punya alim, bibirnya cair dengan ayat-ayat Quran dan Hadis, tetapi bila bab duit dan kuasa. Habis terbang entah ke mana. Berani buat, kena berani tanggung.
Tidakkah ini sangat memalukan, terutama kepada agama? Kita bermasalah, kita buat silap, agama yang suci murni turut terpalit.
Orang melihat apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Cakap baik macam mana, sahabat sana, sahabat sini, kalau perangai macam ‘mangkok hayun’ tidak ada guna juga. Inilah perosak agama, bangsa dan negara.
Percaya atau tidak, selepas ini akan menjadi buah mulut, nampak alim, mengaji agama, Quran Hadis cair di bibir, tetapi kuat main duit, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya
Orang Barat di negara maju, tidak Islam, kita kata lagi bila mati nanti, kena siksa kubur dan masuk neraka selama-lamanya. Tak keluar keluar. Tetapi bila tiba bab tiga “TA”, Wanita, harta dan takhta, mereka cukup berhati-hati, mereka tahan, mereka cukup kuat ‘iman’ untuk tidak terjebak.
Persoalannya, kenapa orang Islam yang dijanjikan masuk syurga, lebih rasuah daripada orang yang dijanjikan masuk neraka.
Kita berpegang kepada kata-kata, sebesar mana pun dosa umat Islam, tetap akan masuk syurga setelah diseksa di neraka. Kasihan orang bukan Islam, baik macam manapun, berintegiriti hebat mana pun, tetap masuk neraka akhirnya.
Apakah ini yang menjadi punca orang Islam melakukan kejahatan sehingga mengamalkan rasuah yang boleh meruntuhkan agama, bangsa dan negara
Dalam pemikiran mereka telah terpahat, buat jahat macam mana pun, kena siksa di neraka, akhirnya masuk syurga juga.
Dalam kata lain, orang Islam tetap masuk syurga jahat macam mana pun akhirnya, orang bukan Islam, tetap masuk neraka baik macam manapun akhirnya.
Apakah asas ini yang menjadikan kita berbuat jahat? Nauzubillah. Bertaubatlah wahai saudaraku.
Saya fikir, sudah sampai masanya kita ubah cara berfikir. Jadikan cara berfikir negara maju sebagai budaya dengan agama menjadi sandaran.
Kita perlu tanamkan dalam pemikiran kita, buat dosa besar seperti rasuah, akan berada di neraka buat selama-lamanya, tidak ada istilah kembali semula ke syurga, kerana dosa yang dibuat itu terlalu besar untuk diampunkan.
Kita sentiasa diguraukan dengan kata-kata.
Lebai macam mana pun kalau bab-bab tiga ‘TA’ wanita, takhta dan harta, tercabut juga serbannya (kopiahnnya, jubahnya). Kita marah orang bercakap sedemikian, hakikatnya telah pun berlaku.
Sebab itu, kadang-kadang sukar untuk kita terima, jika ada pemimpin, nampak alim, ada agama, berperawakan macam ‘malaikat’, tetapi melakukan kejahatan.
Cerita sebegini juga kita dengar dalam kalangan ustaz-ustaz yang berada dan mengajar di sekolah-sekolah. Ustaz pun tidak dapat menunjukkan contoh yang baik, bagaimana nak berdakwah dengan bukan Islam?
Ini tidak termasuk pemimpin yang nampak alim, tetapi berkahwin secara online, ketika rakyat berada dalam kesusahan, ditimpa wabak bencana.
Kalau dah gatal sangat nak kawin, tunggulah dulu, sehingga keadaan reda. Tetapi bukan masa kini
Ya, benar, Barat tidak beriman kepada Tuhan, mereka berpegang kepada integriti. Mungkin ada yang berkata, kalau begitu tidak perlulah hidup bertuhan atau hidup bersandar agama.
Sebenarnya, hidup bertuhan, beragama, itu sudah sangat baik. Amalkanlah. Tanam benar-benar rasa hidup bertuhan, God fearing sebagai asas dalam kehidupan, supaya menjadi pemimpin berintegriti.
Tidakkah lebih nampak molek, jika yang beragama dan alim, mempunyai integriti yang tinggi.
Namun, jika sebaliknya, ia menjadi fitnah yang besar kepada agama. Justeru, marilah kita bersama-sama untuk mengelakkan fitnah dunia ini yang sedang menimpa manusia, tidak berkecuali orang mendakwa menjadikan agama sebagai teras, yang nampak alim.
Saya berpesan pada diri sendiri, supaya dijauhkan daripada musibah ini. Saya bukan berlatarbelakangkan agama, saya hanya seorang mualaf, yang ingin melihat Islam berada ditempatnya, tidak dipersendakan oleh orang lain.
Teramat malu rasanya apabila pimpinan beragama Islam, terpalit dengan salahguna kuasa dan rasuah. Agama Islam yang suci murni disalahfahamkan disebabkan oleh tangan-tangan kotor orang yang disangka alim, tetapi lakukan salah guna kuasa dan rasuah.
Marilah bersama-sama bertekad untuk membenteras salah laku ini. Mudah-mudahan tidak wujud lagi persepsi orang yang nampak alim, tetapi kuat rasuah.
We Need Leaders in Love with Justice. We need leaders not in love with money but in love with justice. Not in love with publicity but in love with humanity. Leaders who can subject their particular egos to the pressing urgencies of the great cause of freedom. (Martin Luther King, 1956).
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
0 ulasan:
Catat Ulasan