Selasa, 13 Julai 2021

Aidil Adha: Suami beli lembu sado untuk ibadah korban tiga isteri

 HAFIZATUL Najmi Pizat dari Kampung Gomuk, Tepoh bersama isteri pertamanya (kanan), isteri kedua (dua dari kiri) dan isteri ketiganya dengan lembu baka charolais yang akan dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

HAFIZATUL Najmi Pizat dari Kampung Gomuk, Tepoh bersama isteri pertamanya (kanan), isteri kedua (dua dari kiri) dan isteri ketiganya dengan lembu baka charolais yang akan dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Lelaki membeli seekor lembu sado baka Charolais seberat 800 kilogram untuk dikorbankan buat tiga isterinya pada sambutan Hari Raya Adiladha ini.

Hafizatul Najmi Pizat, 33, berkata dia memang sudah lama berniat untuk menyembelih ternakan terbaik untuk isteri-isterinya Roslina Mohd Jam Marti, 31, Wan Nur Khairul Nazrah, 29, dan Nur Atikah Mohd Nazri, 25.

"Pada setiap tahun saya akan masuk bahagian korban untuk tiga isteri, cuma sebelum ini hanya menyembelih lembu berharga RM3,000 hingga RM4,000 seekor sahaja.

"Cuma pada tahun ini saya berniat meningkatkan sedikit pengorbanan dengan membeli seekor lembu baka yang lebih besar berharga RM8,000.

"Ia sekali gus akan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk dan orang yang memerlukan," katanya ketika ditemui di kandang lembu Feetlot miliknya, di sini, hari ini.

Menurutnya, lembu baka itu akan dikorbankan pada hari ketiga Aidiladha dan dagingnya akan diagihkan kepada penduduk di sekitar Kampung Gomuk, Tepoh, di sini.

"Saya berasa gembira kerana dapat menyediakan lembu terbaik untuk dikorbankan di atas nama tiga isteri pada tahun ini.

"Mungkin itu sebagai tanda cinta dan sayang kepada tiga isteri yang selama ini sudah banyak berkorban untuk keluarga termasuk menjaga lapan anak kami," katanya.

Bercerita mengenai petua hidup bahagia berpoligam, katanya, suami perlu sentiasa bertanggungjawab dan adil dalam menguruskan keluarga.

"Bukan sahaja baik terhadap tiga isteri, tetapi perlu juga mesra dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa dan ahli keluarga semua isteri.

"Apabila mempunyai kemampuan dalam semua segi, hidup berpoligami akan menjadi harmoni dan tidak menimbulkan fitnah," katanya.

Sementara itu, isteri pertamanya, Roslina berkata, dia bersyukur kerana mempunyai suami penyayang dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai ketua keluarga.

"Walaupun hidup bermadu, saya, suami, dua madu dan anak-anak hidup dalam suasana harmoni.

"Suami sangat adil dalam segala segi sehingga tiada apa yang boleh membuatkan kami berasa tidak puas hati," katanya.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan