Soalan
Assalamualaikum, Apakah status hadis: “Di hari arafah segala amalan diangkat kepada Allah kecuali amalan orang-orang yang bermusuh”. Sekian terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Hadis ini tiada asalnya kerana tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Haram untuk menyebarkannya kecuali dijelaskan bersama statusnya iaitu tiada asal.
Huraian Jawapan
Sebahagian masyarakat menyebarkan hadis berkenaan kelebihan pada hari Arafah. Lafaznya seperti berikut:
يوم عرفة تُرفع جميع الأعمال إلى الله ما عدَا المتخاصمين
Maksudnya: Hari Arafah diangkat segala amalan kepada Allah melainkan mereka yang bermusuhan (bergaduh).
Setelah penelitian dilakukan, kami mendapati bahawa hadis tersebut tiada asalnya kerana tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Maka, haram menyebarkan hadis tersebut tanpa menjelaskan statusnya iaitu tiada asal.
Namun, di sana terdapat hadis lain berkenaan kelebihan hari Arafah yang sahih dan sabit daripada Nabi SAW. Antaranya, hadis yang menyebutkan tentang hari Arafah adalah hari di mana agama ini telah sempurna. Umar bin al-Khattab meriwayatkan bahawa seorang lelaki daripada kalangan Yahudi bertanya kepadanya:
يَا أَمِيرَ المُؤْمِنِينَ، آيَةٌ فِي كِتَابِكُمْ تَقْرَءُونَهَا، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ اليَهُودِ نَزَلَتْ، لاَتَّخَذْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ عِيدًا. قَالَ: أَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ: {اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا} [المائدة: 3] قَالَ عُمَرُ: «قَدْ عَرَفْنَا ذَلِكَ اليَوْمَ، وَالمَكَانَ الَّذِي نَزَلَتْ فِيهِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ قَائِمٌ بِعَرَفَةَ يَوْمَ جُمُعَةٍ»
Maksudnya: “Wahai Amīr al-Mu’minīn, Ada satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia diturunkan ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. ʻUmar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah meredai Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. ʻUmar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika Baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat”. [1]
Riwayat al-Bukhari (45) dan Muslim (3017)
Selain itu, hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [2]
Riwayat al-Tirmidhi (3585)
Bahkan, banyak lagi hadis-hadis yang sabit daripada Rasulullah SAW berkenaan hari Arafah yang boleh kita jadikan sebagai tauladan dan panduan dalam menghadapi hari Arafah yang penuh keberkatan ini.
Kesimpulan
Hadis yang menyebutkan bahawa pada hari Arafah diangkat segala amalan kecuali bagi orang-orang yang sedang bermusuhan (bergaduh) tiada asalnya. Haram untuk menyebarkannya jika tidak dijelaskan tentang statusnya. Telah menjadi satu tanggungjawab bagi seorang mukmin untuk meneliti dan menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat yang diterima. Hal ini bagi mengelakkan berita-berita Hoax terus tersebar dalam kalangan masyarakat.
Rujukan
[1] Muḥammad bin Ismaʻil al-Bukhari, al-Jamiʻ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi, ed. Muhammad Zuhayr bin Nasir al-Nasir (Dar Tuq al-Najah, 1422), 1/18. Lihat juga Muslim bin al-Hajjaj, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-ʻAdl ʻan al-ʻAdl ila Rasulillah SAW, ed. Muhammad Fu’ad ʻAbd al-Baqi (Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-ʻArabi, t.t), 4/2313.
[2] Muhammad bin ʻIsa bin Saurah al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, ed. Ibrahim ʻAtawwah ʻAud (Mesir: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), 5/572.
0 ulasan:
Catat Ulasan