Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin kekal walaupun Proklamasi Darurat tidak disambung selepas 1 Ogos ini, kata laporan.
Ahmad Zahid dipetik Utusan Online berkata pendirian tersebut tidak berubah sehingga kini.
Menurutnya lagi, Umno masih belum memutuskan mengenai tindakan kerajaan PN yang didakwa tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan Proklamasi Darurat.
“Walaupun parti membuat keputusan bahawa menteri dan timbalan menteri daripada Umno akan meletak jawatan jika Proklamasi Darurat diteruskan namun parti belum membuat keputusan selanjutnya ekoran perkembangan terbaru ini.
“Kita belum berbincang terhadap pendirian terbaru kerana keputusan parti adalah keputusan kolektif.
"Sekarang kita belum mengadakan mesyuarat MT yang bakal dilakukan secara dalam talian pada masa terdekat,” katanya.
Jelasnya, mesyuarat MT akan diadakan dalam masa terdekat berikutan sekarang ahli parlimen Umno sedang menyertai Sidang Khas Parlimen.
Zahid pada 25 Julai lalu memaklumkan Umno memutuskan semua menterinya, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu melepaskan jawatan mereka sekiranya ordinan darurat terus berkuatkuasa selepas 1 Ogos.
Semalam, ahli parlimen Bagan Datuk itu mengulas tindakan tiba-tiba kerajaan PN mengumumkan ordinan darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu iaitu sebelum Dewan Rakyat bersidang.
"Bermaksud dalam tempoh beberapa hari lalu aspek perundangan negara dalam kedudukan cacamarba," katanya.
Setakat ini pembatalan berkenaan belum diwartakan di Warta Persekutuan seperti kebiasaannya.
Untuk rekod, tempoh darurat yang bermula pada 11 Jan lalu akan berakhir pada Ahad, 1 Ogos.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini juga berpandangan, pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.
Pengumuman Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu bahawa ordinan darurat telah dibatalkan mengejutkan Dewan Rakyat.
Takiyuddin juga berkata lantaran itu, "isu pembatalan (peraturan-peraturan ordinan darurat) tidak lagi relevan."
Berikut adalah ordinan-ordinan darurat yang diwartakan tahun ini:
- Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021
- Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (pindaan) 2021
- Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja)(pindaan) 2021
- Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 [Berhubung berita palsu]
- Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021 [Berhubung kuasa untuk menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif]
- Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (pindaan) 2021
0 ulasan:
Catat Ulasan