Ahad, 18 Julai 2021

'Kita cuba bawa kasih sayang, tapi ada yang benci' - Ebit Lew

 Ebit Lew

Ebit Lew

Kuala Lumpur: "Saya sedih sebab sejak kebelakangan ini ramai yang cuba cari gaduh dengan sesiapa," luah Ustaz Ebit Lew.

Luahan itu dibuat Ebit susulan kontroversi antara dirinya dengan penyanyi rap Caprice yang mula tular sejak semalam.

Beliau berkata, apa yang dilakukan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan adalah demi Allah SWT semata-mata.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak mengambil endah kejian dan buruk sangka orang lain terhadap apa yang dilakukan.

Namun katanya, kejian itu kini dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Walau kita cuba bawa kasih sayang dalam dunia tapi masih ada orang yang benci kita.

"Dulu saya jahat, bila kita cuba buat baik tapi ujian itu tidak henti-henti," katanya dalam video tular di laman media sosial.

Ebit berkata, semua rakyat adalah sebuah keluarga tanpa mengira agama dan bangsa yang perlu hidup bahagia.

Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Dia juga mendakwa Ebit hanya menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza demi tarikan bahan kandungan di media sosial.

Pendedahan Caprice itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang netizen terutamanya dalam kalangan penyokong Ebit yang memberikan pelbagai reaksi terhadap artis terbabit.

-myMetro

0 ulasan:

Catat Ulasan