Notis penguatkuasaan pada operasi musnah kebun durian Musang King di Hutan Simpan Batu Talam. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
KUANTAN: Operasi memusnahkan ladang durian haram dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam dekat Raub yang dilaksanakan sejak kelmarin, dibuat oleh kerajaan negeri selepas mendapat pandangan penasihat undang-undang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pandangan penasihat undang-undang itu dirujuk kerana dakwaan kononnya operasi penguatkuasaan di situ melanggar perintah Mahkamah Rayuan.
"Operasi penguatkuasaan ini dijalankan selepas mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang (LA) Negeri yang sebelum itu merujuk kembali perkara ini ke Mahkamah Rayuan,
"Ia sebenarnya tidak (melanggar perintah mahkamah) kerana kerja penguatkuasaan dilakukan di luar kawasan kebun durian yang dimaksudkan yang dimiliki oleh Royal Pahang Durian Resoruces PKPP Sdn Bhd," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Wan Rosdy berkata, tindakan penguatkuasa itu juga tidak wajar dijadikan isu perkauman kerana sebelum ini penguatkuasaan sama dilakukan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands, masing-masing membabitkan pekebun India dan Cina.
"Di Kechau, Lipis pula membabitkan pelombong emas Melayu. Oleh itu, saya berharap operasi di HSK Batu Talam ini tidak dijadikan isu perkauman," katanya.
Mengulas operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam, Wan Rosdy berkata, ia tindakan bersepadu membabitkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anggota polis mengawasi operasi musnah kebun durian Musang King di Hutan Simpan Batu Talam. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Anggota polis mengawasi operasi musnah kebun durian Musang King di Hutan Simpan Batu Talam. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Beliau berkata, tempoh kerja penguatkuasaan bermula kelmarin hingga 2 Ogos depan atau kira-kira sebulan.
"Operasi penguatkuasaan membabitkan kebun haram termasuk tanaman durian 'Musang King' dalam HSK Batu Talam berkeluasan kira-kira 101.17 hektar.
"Operasi ini termasuk menahan mana-mana individu dan pekebun yang memasuki kawasan HSK Batu Talam tanpa kebenaran dan turut menyita apa juga barangan dan kenderaan.
"Bagi tempoh dua hari operasi, seramai 22 individu ditahan termasuk 18 orang ditahan semalam dan disiasat untuk diambil tindakan di bawah Akta Perhutanan Negara dan Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, sebenarnya ia adalah operasi penguatkuasaan biasa tetapi mendapat tentangan serta provokasi dengan kata-kata kesat dikeluarkan terhadap pegawai dan kakitangan penguat kuasa.
Kerja membaiki jambatan yang dirosakkan dilakukan dalam operasi musnah kebun durian Musang King di Hutan Simpan Batu Talam. - NSTP/Rafi Mamat
0 ulasan:
Catat Ulasan