PETALING JAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur bermula hari ini mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai seolah-olah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak sebulan lalu gagal.
Tidak terkecuali, selebriti versatil, Rozita Che Wan, 48, yang turut mengulas mengenai perkara sama selepas sekian lama berdiam diri.
Ujar pelakon yang dikenali sebagai Che Ta itu, dia benar-benar bingung dan kecewa dengan keputusan kerajaan yang seolah-olah baru hendak bertindak sedangkan rata-rata rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“PKPD ni untuk siapa sebenarnya? Untuk orang yang patuh SOP duduk di rumah atau kilang yang masih beroperasi (sepanjang PKP)?” soalnya menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagramnya.
Persoalan dilontarkan ibu kepada tiga cahaya mata itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengakui 80 peratus kluster kilang sebagai punca peningkatan kes di Selangor.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan netizen menyokong kenyataan yang dikeluarkan isteri pelakon Zain Saidin itu.
“Kami sokong Che Ta. Padahal kerajaan boleh sahaja tutup kilang buat sementara waktu. Ekonomi yang diutamakan bukan nyawa dan nasib rakyat.
“Sepatutnya dari awal lagi mereka (kerajaan) dah tutup kilang. Orang dah benak duduk terperap dalam rumah, kena kurung berbulan-bulan,” tulis seorang pengikutnya.
Selain Che Ta, beberapa selebriti lain turut tidak bersetuju dengan keputusan yang dianggap ‘kurang bijak’ itu termasuk Nad Zainal, Sharifah Shahirah, Ashraf Muslim, Datuk Fizz Fairuz, Sheila Rusly dan Azhan Rani.
Kelmarin, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PKPD di Kuala Lumpur dan Selangor bagi tempoh dua minggu bermula sehingga 16 Julai ini.
Ia berikutan dua negeri tersebut merupakan penyumbang terbesar pertambahan kes harian dan menunjukkan trend jangkitan yang tinggi.
Pelaksanaan PKPD itu bagaimanapun disifatkan melencong daripada realiti memandangkan penyumbang kes Covid-19 dikatakan berpunca daripada kilang yang masih beroperasi.-K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan