Isnin, 12 Julai 2021

Permohonan Najib dapatkan dokumen syarikat terkait keluarga Zeti ditolak

 

Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sedang berjalan.

Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak Mahkamah Tinggi atas alasan dokumen diminta berkaitan syarikat yang didakwa dikuasai keluarga Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tidak relevan.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini membuat permohonan untuk mendapatkan beberapa penyata bank dan dokumen lain yang dipercayai berkaitan dengan ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low, dan ahli keluarga Zeti.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan mendapatkan dokumen berkenaan tidak relevan untuk kegunaan bagi pihak pembelaan.

“Saya tidak lihat bagaimana dokumen bank itu yang berkait dana diterima keluarga beliau (Zeti) adalah relevan bagi kegunaan pihak pembelaan,” katanya.

Jelasnya, pasukan pembelaan boleh menyoal Zeti semasa dipanggil ke kandang saksi kemudiaan, ia sekiranya mereka mahu meneliti kredibiliti Zeti sebagai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM)

“Pihak pembelaan boleh menyoal balas beliau (Zeti) apabila dipanggil ke kandang saksi kemudian,” katanya lapor portal Free Malaysia Today hari ini.

Selain itu, mahkamah juga menolak permohonan Najib bagi mendapatkan rekod telefon bimbit bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, selepas mengambil kira pihak pendakwa raya secara jelas memaklumkan mereka tidak memiliki dokumen terbabit.

“Permintaan terkandung dalam notis untuk mendapatkan rekod telefon bukan dalam keupayaan penguatkuasaan,” katanya lagi.

“Terkandung dalam keterangan bahawa rekod telefon seperti diminta tertuduh (Najib) bukan sebahagian daripada kes yang dibawa pihak pendakwa raya terhadapnya dan pihak pendakwa raya tidak mempunyai kewajipan mengemukakan dokumen berkenaan, yang bukan sebahagian daripada kes dikemukakan, kepada pihak pembelaan,” katanya.

Bagi percubaan Najib memohon salinan dokumen penyelesaian tuntutan antara kerajaan dan Goldman Sachs, mahkamah memaklumkan maklumat yang dipohon pihak pembelaan tidak dibuat secara terperinci.

Kerajaan mencapai penyelesaian tuntutan dengan Goldman Sachs pada Julai tahun lalu membabitkan pemerolehan semula dana berjumlah USD3.9 billion (RM16.63 billion).

Pada 5 April lalu, Najib sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen perjanjian sulit di antara kerajaan dan Goldman Sachs, yang dilaporkan antara lain mengatakan bahawa Goldman Sachs mencapai persetujuan dengan Kerajaan Malaysia untuk membayar AS$2.5 bilion (RM10.4 bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) yang dirampas di seluruh dunia, sebagai balasan bagi Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank pelaburan Amerika itu.

Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib, 67, bagi menyokong permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.

Najib turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs membabitkan komunikasi Leissner.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pangubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

-Agenda Daily

0 ulasan:

Catat Ulasan