Ipoh: Polis membuka kertas siasatan mengenai sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh di sini, hari ini, untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berkenaan isu tular helikopter dari Kuala Lumpur ambil pesanan nasi ganja di Ipoh ini berdasarkan kesalahan melanggar SOP larangan rentas daerah dan negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya mengesahkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi tadi dan maklumat sudah disalurkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh bagi siasatan lanjut.
"Selepas membuat semakan dengan pihak CAAM Ipoh, helikopter berkenaan didapati hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh namun tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh," katanya.
Terdahulu tular di media sosial helikopter berkenaan mendarat di Padang Ipoh semata-mata untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Bandaraya Ipoh.
Kehadiran helikopter berkenaan yang dinaiki dua lelaki dikatakan membuat penerbangan dari Kuala Lumpur yang mana helikopter itu dipercayai milik syarikat swasta, mengejutkan orang ramai sebaik apabila didapati terbang rendah sebelum mendarat di padang terbabit sekitar jam 9.55 pagi.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan