Tokyo: Atlet Sudan, Mohamed Abdalrasool sanggup menarik diri daripada Olimpik Tokyo berbanding berdepan lawan dari Israel, Tohar Butbul sekali gus muncul atlet judo kedua meninggalkan temasya itu kerana tidak mahu bertemu lawan dari Israel.
Peserta berusia 28 tahun itu tidak muncul ketika perlu bertemu Tohar Butbul dalam kelas 73 kilogram (kg) semalam.
Ia hadir selepas Fethi Nourine dari Algeria turut menarik diri minggu lalu kerana dia mungkin akan bertemu Butbul dengan memberi alasan sebagai tanda protes layanan Israel terhadap rakyat Palestin berikutan konflik berpanjangan antara kedua-dua negara berkenaan.
Abdalrasool yang menduduki ranking 469 dunia, tidak memberikan sebab utama menarik diri daripada pertarungan itu di sebalik tampil pada sesi menimbang berat badan sehari sebelum itu.
Fethi Nourine sepatutnya bertemu Abdalrasool pada pusingan pembukaan kelas 73kg dengan pemenang perlawanan itu akan bertemu Butbul.
Bagaimanapun, bintang Algeria berusia 30 tahun itu serta jurulatihnya, Amar Benikhlef mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding berbanding berdepan risiko bertemu lawan mereka dari Israel.
Nourine kemudian memberitahu stesen televisyen Algeria bahawa dia tidak mahu 'mengotorkan tangannya' dan keputusan menarik diri adalah perkara yang tepat untuk dilakukannya.
"Kami bekerja keras untuk layak ke temasya ini tetapi isu Palestin lebih besar berbanding yang lain.
"Saya konsisten terhadap isu Palestin dan jika ia memberi kesan kepada penyertaan saya di Sukan Olimpik, Tuhan akan menggantikannya dengan perkara lebih baik," katanya.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan