Rabu, 7 Julai 2021

PAS, MCA ucap tahniah kepada Ismail Sabri, tapi tidak Presiden UMNO

 agendadaily.com

7/7/2021


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ke-13 hari ini.

Rakan parti MCA dan PAS mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu hari ini dengan menyifatkan ia dapat mengukuhkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

PAS berkata langkah tersebut diambil tepat memandangkan Ismail Sabri memiliki pengalaman yang luas dalam menguruskan negara disamping dapat membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemudi negara ketika krisis pandemik yang sedang melanda negara.

PAS yakin perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob adalah amat tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang Menteri dan Menteri Kanan serta merupakan pemimpin UMNO paling kanan dalam kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.

“PAS yakin beliau akan dapat membantu YAB. Perdana Menteri dalam menguruskan negara terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19,” kata kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, MCA juga berharap dengan lantikan tersebut ia dapat memastikan usaha dan inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 berjalan dengan lancar serta membantu rakyat ketika tempoh sukar ini.

“MCA akan terus bekerjasama erat dengan Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta semua anggota kabinet untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, memulihkan semula ekonomi negara dan membantu rakyat berdepan waktu sukar,” kata Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung lantikan tersebut.

Spekulasi diluar mengatakan Zahid dijangka membuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini untuk membawa parti bertindak keluar daripada kerajaan PN.

Terdahulu kenyataan pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Hishammuddin pula dilantik menjadi Menteri Kanan Luar Negeri dan mengetuai Kluster Keselamatan.

Kenyataan dibuat Muhyiddin itu berkuat kuasa serta-merta.

-Waklabufarm

0 ulasan:

Catat Ulasan