Sabtu, 3 Julai 2021

Euro2020: Hampir 2,000 penyokong Scotland positif COVID-19

 Gambar hiasan. - Foto AFP

Gambar hiasan. - Foto AFP

EDINBURGH: Sekurang-kurangnya 1,991 kes jangkitan COVID-19 di Scotland dikaitkan dengan peminat yang menonton perlawanan bola sepak Euro 2020.

Agensi Kesihatan Awam Scotland (PHS) memaklumkan, hampir dua pertiga atau 1,294 kes membabitkan peminat bola sepak yang berkunjung ke London untuk menyaksikan perlawanan antara Scotland menentang England 18 Jun lalu.

Seramai 397 peminat pasukan Scotland tidak dapat memasuki Stadium Wembley susulan tiada tiket, menyebabkan mereka mengunjungi beberapa bar berhampiran untuk menyaksikan perlawanan.

Kesemuanya dilaporkan tidak mematuhi peraturan sekatan COVID-19.

Selain itu, ada juga kes jangkitan COVID-19 membabitkan peminat bola sepak ketika menyaksikan perlawanan antara Scotland dan Croatia serta Scotland menentang Republik Czech.

Menurut PHS, 90 peratus kes jangkitan atau 1,470 orang membabitkan lelaki iaitu melibatkan golongan berusia 20 hingga 39 tahun.

Sehubungan itu, Scotland kini menjadi negara merekodkan kes jangkitan coronavirus tertinggi dalam United Kingdom (UK). - AGENSI


0 ulasan:

Catat Ulasan