Khamis, 22 Julai 2021

KERJA AMAL EBIT LEW SEPATUTNYA DISOKONG, BUKAN DIBUBUH RACUN


 Pada mulanya saya agak malas untuk melibatkan diri menulis sebarang kata berkaitan isu yang muncul kebelakangan ini melibatkan pendakwah budiman, Ustaz Ebit Lew.

Bagi saya, sama ada apa yang dibangkitkan oleh Caprice atau Nadir Al Nuri tentang misi bantuan Ebit Lew ke Gaza, ia tidak lebih “gelagat budak-budak baru nak up” cuba menumpang publisiti daripada populariti pendakwah tersebut.

Isu-isu yang mereka bangkitkan terlalu remeh berbanding pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang sanggup Ebit Lew lakukan selama ini.

Begitu pun, dengan sampai beliau membuat laporan polis terhadap mereka yang dianggap memfitnahnya, luka hatinya ternampak begitu dalam rasa pedihnya.

Meski pertama kali memberi bantuan untuk Gaza, tetapi beliau telah banyak menabur bantuan di seluruh pelusuk negara sebelum ini sehingga peranannya kadangkala melebihi wakil rakyat atau menteri.

Barangkali boleh dibilang dengan jari mereka yang berkemampuan dan kaya, namun sanggup ke sana sini mengorbankan masa, tenaga serta wang ringgit mencari orang susah, lalu menghulur bantuan kepada mereka.

Kebanyakan yang kaya, sementara ramai yang suka hidup dengan kekayaan mereka, yang berhati mulia pula kebanyakannya lebih suka memilih jalan mudah dalam menderma iaitu hanya dengan memberi wang atau membelikan apa yang diperlukan.

Tetapi, Ebit Lew lebih daripada itu, beliau memberi wang untuk menolong orang susah hasil rezeki kekayaan daripada perniagaannya, sambil memberikan sama masa dan tenaga untuk pelbagai misi bantuan yang dilakukannya.

Tidak dinafikan mungkin ada penderma atau rakan-rakannya yang pemurah turut sama menghulur bantuan kepadanya, namun mereka melakukannya secara ikhlas tanpa perlukan publisiti atau mahu dikenali oleh sesiapa.

Maka dengan itu, asalkan bantuan yang dilakukannya ternampak sudah disampaikan, itu sebenarnya sudah memadai tanpa perlu ada pihak yang gila publisiti menuntut agar audit dilakukan pula.

Baik untuk Gaza atau segala bantuan yang dilakukannya selama ini, Ebit Lew tidak pernah menadah tin milo untuk meminta sumbangan daripada orangramai atau daripada syarikat korporat tertentu.

Jika tiada dana awam yang dikutip, sepertimana Pas yang mengutip berjuta-juta ringgit untuk Gaza baru-baru ini tapi sehingga ini senyap begitu saja, di mana perlunya audit dilakukan terhadapnya?

Kenapa tidak diminta audit dilakukan terhadap parti dan NGO yang banyak mengutip dana awam itu?

Selain itu, sekali baca apa yang Caprice dan Nadir bangkitkan juga dengan mudah terlihat adanya unsur-unsur dengki dan iri hati di dalamnya.

Soal agen yang digunakan untuk masuk ke Gaza, berapa bayarannya dan di mana barang keperluan untuk bantuan itu dibeli, itu bukanlah urusan pihak lain untuk campurtangan dan menentukannya.

Barang di rumah kita dan teksi apa yang perlu kita gunakan, kenapa orang lain yang sibuk-sibuk melihat tepi kain kita?

Soalnya juga, adakah mereka yang menceceh berkenaan Ebit Lew itu mampu memberi sumbangan masa, tenaga dan wang ringgit melebihi atau menyamai apa yang pendakwah itu lakukan?

Jika kita sendiri tidak mampu dan mempunyai keupayaan terhad, janganlah dengki atau iri hati.

Kerja-kerja amal Ebit Lew adalah misi kemanusiaan yang secara sukarela dilakukannya dengan hanya satu tujuan sebagaimana kerap disebutnya di mana-mana – semoga Allah sayang kita semua.

Maka, berhentilah mempertikai atau mencari pasal terhadap apa yang dilakukannya jika derma atau amal jariah kita sendiri sekadar menderma seminggu sekali saja di tabung masjid pada hari Jumaat atau pemergian kita sendiri ke Gaza melalui dana orangramai.

Kerja amal dan menolong orang susah yang dilakukan Ebit Lew kadangkala melebihi kemampuan wakil rakyat yang bergaji mewah dan berkereta Mercedes atau kebanyakan orang kaya yang kita sendiri kenali.

Jadi, kita patut bersyukur ada manusia seperti Ebit Lew di sekeliling kita.

Kerja-kerja amalnya perlu disokong sambil kita juga harus mendoakan kemurahan rezeki untuknya kekal berpanjangan agar misi bantuannya, di dalam negara, Gaza atau di mana saja, sentiasa berterusan.

Durjana sangatlah jika ada di kalangan kita yang sanggup meletak racun terhadap kerja amalnya, walhal kita sendiri, jangankan mahu berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, menulis di FB dan mengangkat tangan berdoa untuk Gaza pun hanya sesekali dan sambil lewa saja. 


(ShahbudinHusin 22/07/2021)

0 ulasan:

Catat Ulasan