Khamis, 8 Julai 2021

Muhyiddin Masih Kekal Sebagai Perdana Menteri - Peguam Negara

 

MUHYIDDIN Yassin masih kekal sebagai perdana menteri kerana setakat ini tiada bukti mengikut Perlembagaan Persekutuan beliau sudah hilang sokongan majoriti untuk mengetuai kerajaan, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Katanya, pengumuman penarikan balik sokongan Umno adalah kenyataan sebuah parti politik yang membentuk kerajaan dan bukannya kenyataan ahli Dewan Rakyat.

Buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan sesuatu parti politik atau mana-mana pemimpin parti politik.

“Oleh itu, daripada segi undang-undang, perdana menteri dan jemaah menteri sedia ada ternyata masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Idrus mengulas kenyataan yang dikeluarkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 7 Julai, 2021 yang dibacakan kepada umum selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malam tadi.

Selepas mesyuarat lebih empat jam bermula 8.30 malam secara dalam talian, Zahid mengumumkan pendirian Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Beliau juga mengumumkan desakan Umno agar Muhyiddin segera letak jawatan untuk diganti seorang perdana menteri sementara.

“Tempoh perdana menteri yang baharu akan hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan,” katanya.

Perdana menteri sementara itu juga nanti akan segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan pilihan raya apabila Malaysia mencapai tahap imunisasi kelompok, tambahnya.

Awal hari ini, Idrus dilapor mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di rumah perdana menteri di Kuala Lumpur.

Beberapa menteri Kabinet juga kemudian dilihat berada di rumah itu antaranya Ismail Sabri Yaakob yang semalam diumum dilantik sebagai timbalan perdana menteri, menteri luar negeri Hishammuddin Hussein yang diangkat sebagai menteri kanan dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Difahamkan Muhyiddin hari ini mengadakan pertemuan dengan menteri dan ahli Parlimen Perikatan Nasional secara berperingkat dalam kumpulan kecil.

Muhyiddin yang dirawat di hospital sejak Rabu minggu lalu selepas mengalami jangkitan pada sistem penghadaman dibenar pulang ke rumah kelmarin (Selasa, 6 Julai).

Pada 4 Julai, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan gangguan kesihatan itu tidak menunjukkan masalah barah yang dihadapi beliau sebelum ini berulang.


-Anak Sungai Derhaka

0 ulasan:

Catat Ulasan