Khamis, 1 Julai 2021

Menteri lompat parti dua kali dianggap sudah meninggal dunia

 

Gambar profil di Facebook rasmi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang berwarna kelabu sebentar tadi dilihat menarik perhatian warganet.

Rata-ratanya secara menyindir mengucapkan takziah kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota itu selain meninggalkan komen Al-Fatihah (dibaca) serta mengaitkan pendirian politik ‘Allahyarham’.

Semakan Malaysia Dateline mendapati gambar Saifuddin dalam mod kelabu yang dikaitkan dengan belasungkawa itu hanya bertahan kira-kira 40 minit sebelum dipadam.


Dia kemudiannya dilihat menambah ‘bingkai’ solidariti kempen tanda pagar #CodeBlackMy yang menjadi trending di Twitter hari ini.

“Arwah PN dulu. Pengkhianat orangnya,” sinis Mawi Rahmani manakala Mohd Yusof meninggalkan komentar, “Kenapa ni? Dah Innalillah ke?”

Tidak kurang juga yang mengaitkan ke mana hala tuju politik Saifuddin sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang sejurus Parlimen dibuka.

“Salam takziah PN. Nak patah balik ke tu?” usik Rizuan MH.

Sementara itu, Eric Tan pula hanya menulis, “R.I.P”, begitu juga Muhamad Anuar Mohd yang berkata, “Takziah untuk keluarga arwah.”

Saifuddin pada masa ini merupakan wakil rakyat Bersatu selepas keluar dari PKR pada 24 Februari tahun lalu bersama lapan Ahli Parlimen lain termasuk Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang masing-masing kini juga menteri.

Sebelum itu, Saifuddin yang juga bekas Menteri Luar Negeri dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bertindak keluar dari Umno pada 2015 dan menyertai PKR.

Untuk rekod, #CodeBlackMy yang disokong oleh Saifuddin merujuk pada gerakan bersolidariti kepada pegawai perubatan kontrak untuk menuntut penukaran status doktor kontrak kepada jawatan tetap.

-Malaysiadateline

0 ulasan:

Catat Ulasan