Selasa, 5 Januari 2021

Polis serbu restoran di Melaka papar 18 gambar komunis

 

BANDA HILIR 4 Jan. – Sebuah restoran di Jalan Jonker, di sini, diserbu pihak polis selepas didapati memaparkan 18 gambar mirip pemimpin Parti Komunis, Mao Zedong di dinding restoran terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya telah menjalankan serbuan hasil maklumat hasil orang awam selain pemantauan pihak polis mendapati gambar pemimpin itu digantung di dinding bahagian dalam premis.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam satu petang semalam, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.


“Kita sudah membuka kertas siasatan untuk kes ini dan pemilik premis terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Selain itu, kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.


Terdahulu, media melaporkan sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang disiasat selepas didapati menghias dua premisnya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.

Tindakan itu diambil selepas gambar hiasan dalam restoran itu tular dalam media sosial sehingga menimbulkan pertikaian warganet. – MHI


Kredit: https://cin-ca.blogspot.com

0 ulasan:

Catat Ulasan