RAMAI peniaga daging ditemui dalam satu tinjauan oleh wartawan Malay Mail mengakui tidak terkejut dengan berita tergempar tentang kegiatan haram 'kartel daging' yang didedahkan oleh pihak media baru-baru ini.
Para peniaga daging yang ditinjau kebanyakkan berkata mereka sudah bertahun lamanya terseksa dalam diam mengetahui kewujudan kartel itu, dan kecewa dengan sikap sambil lewa pihak berkuasa terhadap sindiket itu.
Menurut Zamry Shahbhari, seorang peniaga daging di pasar Petaling Jaya, peniaga daging tempatan sedar kewujudan syarikat yang membawa masuk daging lebih daripada yang dibenarkan, namun tiada tindakan diambil meskipun aduan telah dibuat.
"Maaf cakaplah, tapi saya rasa apa yang kerajaan buat untuk menyelesaikan masalah ini merepek. Saya tak mahu sebut Menteri mana tapi kami tahu siapa,"
"Kami sudah dengar tentang jualan daging haram ini bertahun-tahun dan penternak tempatan telah buat laporan polis namun tiada tindakan terhadap mereka," keluh Zambry.
"Sebaliknya kita dengar sebuah syarikat di Johor, Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, suami dan isteri dituduh terlibat dengan perniagaan haram ini. Apa gunanya? Ini ikan bilis, pesalah sebenar masih bebas di luar sana," tambahnya.
Zambry merujuk kepada sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku, yang mana pengarahnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru minggu lalu susulan pendedahan media berhubung sindiket yang membungkus semula daging tidak halal sebagai daging halal.
Tertuduh Rahman Sheik Abdullah, 44 dan isterinya Raihanah Kasim, 42 mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, namun mereka hanya dituduh menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf pada lori syarikat.
Ketika ditanya bagaimana para peniaga daging merasa curiga, kata Zambry pihak berkuasa hanya membenarkan syarikat asing untuk membawa masuk satu jumlah tertentu daging sejuk beku pada setiap bulan.
Namun jumlah yang mereka bawa dikatakan sentiasa melebihi jumlah yang diluluskan oleh pihak berkuasa Islam yang menguatkuasakan pensijilan halal.
"Kemudian tiba-tiba kami dengar ada syarikat membawa 50 hingga 70 kontena setiap bulan ke Malaysia selama beberapa bulan. Jumlah itu terlalu banyak untuk sebuah syarikat. Selalunya sekitar 20 hingga 30 kontena sebulan, atau kurang dari itu," kata Zambry, sambil menjelaskan bahawa setiap kontena bersamaan dengan satu tan daging.
"Saya fikir kita perlu siasat Jabatan Kastam dan imigresen, juga agensi lain yang terlibat lebih mendalam. Ramai peniaga daging yang tak mahu bersuara, kerana takutkan kesannya, tapi saya rasa ini isu yang penting dan jika benar anda tak perlu takut," katanya.
Seorang lagi peniaga daging, Sulong Mohd yang berniaga di pasar Seksyen 16 Shah Alam, berpendapat jika kartel berkenaan boleh beroperasi selama bertahun-tahun bermakna ramai pegawai dalam pihak berkuasa yang korup terlibat dan kemungkinan hidup selesa hasil pendapatan haram.
"Jika mereka kata isu kartel daging ini telah beroperasi selama 40 tahun, pegawai-pegawai terlibat mungkin sudah bersara dan menikmati hidup,"
"Mereka mungkin terlepas di dunia, tapi kita tak tahu apa akan jadi di akhirat," katanya.
Sumber — https://www.milosuam.net/
0 ulasan:
Catat Ulasan