Eurocham meminta semua pihak bertenang kerana tiada penutupan ekonomi serta-merta selepas 4 Februari, 2021.
Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kesatuan Eropah-Malaysia (Eurocham) tampil memberi penjelasan kepada komuniti perniagaan berhubung isu Putrajaya menimbangkan untuk menutup ekonomi serta-merta sekiranya jangkitan Covid-19 terus meningkat, selepas satu surat berkenaan mesyuaratnya dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) terbocor kepada media.
“Eurocham Malaysia ingin menjelaskan bahawa meskipun Miti memaklumkan situasi yang semakin mendesak saat ini, memandangkan jumlah kes yang semakin meningkat, tidak ada disebut mengenai penutupan ekonomi serta-merta selepas 4 Februari, 2021.
“Oleh itu, kami harap agar orang ramai tetap fokus pada gambaran yang lebih besar dalam menggalas tugas bersama bagi memastikan agar penutupan ekonomi dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa media melaporkan kandungan sepucuk surat yang dihantar Eurocham kepada anggotanya, merumuskan tentang hasil mesyuarat antara ketua pegawai eksekutifnya, Sven Schneider dan Ketua Setiausaha Miti Lokman Hakim Ali.
Dalam surat itu, ia membayangkan kerajaan berhasrat mengumumkan penutupan ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Februari, jika bilangan kes Covid-19 di Malaysia terus meningkat.
“Inilah situasi semasa yang sedang kita hadapi dan Miti meminta semua syarikat, sama ada tempatan atau luar negara, untuk menyertai usaha mengurangkan jangkitan, memutuskan rantaian, dan agar ekonomi terus berjalan,” menurut surat itu.
Tetapi dalam kenyataan terbarunya Eurocham berkata mesyuarat bersama Miti adalah “perbincangan tidak formal” dan menambah surat itu adalah “sulit untuk sebaran dalaman”.
Pengerusi Eurocham Malaysia Oliver Roche, dalam kenyataannya malam ini, mengatakan pihaknya menghargai hubungan kerja yang erat dengan kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Schneider dalam kenyataan sama juga memuji usaha Putrajaya dalam memerangi wabak Covid-19.
“Walaupun kita memusatkan perhatian pada pandemik dan kesan negatifnya terhadap ekonomi, penting juga untuk melihat berapa banyak yang dilakukan kerajaan Malaysia demi rakyat, dan perhatikan bahawa semua orang, daripada masyarakat massa hingga komuniti perniagaan, mempunyai tanggungjawab untuk melakukan apa yang kita mampu untuk meratakan lekuk jangkitan,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terbaru ini membenarkan kebanyakan perniagaan untuk beroperasi, tidak seperti yang pertama dilaksanakan Mac tahun lepas apabila kebanyakan perniagaan ditutup kecuali bagi perkhidmatan perlu.
Bagaimanapun kali ini, pihak berkuasa menetapkan syarat ketat prosedur operasi standard (SOP) kepada perniagaan.
Kerajaan berulang kali mengatakan tidak akan melaksanakan PKP seperti tahun lepas kerana memberikan kesan besar kepada kehidupan orang ramai dengan ribuan hilang pekerjaan dan memaksa syarikat memotong gaji pekerja.
Sumber:Malaysia Now
Artikel Berkaitan: Tutup ekonomi secara menyeluruh selepas 4 Februari kalau kes Covid-19 terus melonjak
0 ulasan:
Catat Ulasan