Isnin, 18 Januari 2021

Annuar Musa saran Zahid Hamidi pimpin UMNO hingga tamat penggal

 Annuar Musa saran Zahid Hamidi pimpin UMNO hingga tamat penggal

Tan Sri Annuar Musa berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO sehingga tempoh penggal berakhir pada 2021. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO sehingga tempoh penggal berakhir pada 2021.

Meskipun ada pandangan yang mahukan Ahmad Zahid “berehat”, bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Parti.
“Apapun tahun 2021 ini tahun pemilihan MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Biarlah proses biasa dalam parti berjalan. Sementara itu, sama-sama berusaha perbaiki keadaan parti,” katanya dalam kemas kini di entri Twitternya, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, terdapat pandangan dan gesaan beberapa pemimpin dan ketua sayap UMNO negeri agar parti itu mengadakan pemilihan segera bagi menyelesaikan kemelut dan menentukan hala tuju parti Melayu terbesar itu.

Ia termasuk menyarankan agar Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk supaya berehat memimpin parti itu dengan rasa hormat.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang berkata pendekatan pemimpin mesti ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa beberapa tokoh besar dalam UMNO cuba menarik anggota MKT supaya menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Annuar menegaskan, tiada sebab untuk menyokong parti lain.
“Yang perlu difikirkan ialah siapa pilihan paling strategik untuk bekerjasama bagi mempastikan agenda membela rakyat terlaksana.
“UMNO terima hakikat perlunya kita bergabung tenaga, cuma dengan siapa?,” soalnya.
Memetik laporan portal FMT, “tokoh besar” UMNO turut didakwa merancang untuk mendapatkan sokongan penuh dalam kalangan pemimpin parti supaya Ahmad Zahid “mengundur diri”.
-AstroAwani

0 ulasan:

Catat Ulasan