KUALA LUMPUR, 18 Jan – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan mesti bertindak untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat.
Ini katanya akan menyebabkan pelajar-pelajar terutama golongan B40 akan keciciran dalam pendidikan manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) memerlukan capaian internet dan gajet.
“B40 ramai yang tak mampu beli laptop, komputer dan ‘handphone’ canggih.
“Kerajaan mesti bertindak untuk selesaikan masalah-masalah ini segera,” ciapnya di Twitter.
Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO turut mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang mengatakan faktor capaian internet dan pemilikan gajet dilihat menjadi antara faktor utama proses PdPR kurang berkesan serta menyumbang kepada beberapa kesan negatif dan merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah.
Manakala menurut seorang pakar psikologi, Prof Datin Dr Mariani Mohd Noor yang juga Naib Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (Majlis ECCE) berkata anak golongan kurang berkemampuan berdepan risiko menjadi ‘generasi ketinggalan’ atau ‘lost generation’ jika kaedah PdP secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.
Baru-baru ini, akibat PKP, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan melaporkan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 20 Januari ini di seluruh negara dihadkan kepada calon peperiksaan utama bagi 2020. – UMNO ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan