Isnin, 18 Januari 2021

COVID-19: Bakul makanan bantu rakyat terkesan wabak, potongan cukai untuk penderma

 


KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan, merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan program itu akan membabitkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Selain itu, bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta di bawah program GLIC/GLC 'Disaster Relief Network' sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan Kerajaan bagi inisiatif sosial.

"Ini termasuklah pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas, gelandangan, OKU (orang kurang upaya) dan mangsa banjir," katanya dalam Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Dalam Belanjawan 2021, katanya, kerajaan telah meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah JKM, berkuat kuasa Januari ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion dan akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima.

Sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni rakyat yang ingin bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, katanya, kerajaan juga mengumumkan beberapa insentif kepada penderma.

Beliau menjelaskan, insentif itu adalah dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai atau barangan serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak COVID-19.

"Penyumbang layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka," katanya.



-BH Online

0 ulasan:

Catat Ulasan