Jumaat, 8 Januari 2021

Presiden UMNO Khianati Parti Sendiri Kerana DAP?

 

Zahid Khianati Parti Jalin Kerjasama Anwar-DAP

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengkhianati parti apabila membuat akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggerakkan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama UMNO, PKR dan DAP.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perkara itu merupakan soal pokok yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Katanya, beliau tidak ada masalah untuk mempertahankan institusi Presiden, tetapi perkara itu agak sukar dilakukan kerana Presiden sendiri mengkhianati parti.

“Saya akan pertahankan institusi selagi tidak khianati parti. Masalahnya presiden sendiri khianati parti.

“Pendedahan Annuar semalam seperti mendedahkan salah laku seorang Presiden tentang wujudnya sokongan kepada Anwar secara sembunyi tanpa pengetahuan pemimpin UMNO/BN lain apatah lagi akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Ketereh mendedahkan antara punca dirinya digugurkan sebagai Setiausaha Agung BN disebabkan isu akuan bersumpah itu.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, dalam menyelesaikan kemelut politik ketika ini, Ahmad Zahid perlu membuat akuan bersumpah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Ini termasuk, katanya, menghentikan jajaran politik baharu sebagai istilah menyembunyikan sokongan secara rahsia beliau itu.

“Jika Presiden buat (akuan bersumpah) ini maka kita boleh sokong semula beliau.

“Selagi Presiden tak berani buat dan tak mahu arahkan untuk hentikan jajaran politik baharu ini, selagi itu takkan selesai,” katanya. UTUSAN ONLINE

0 ulasan:

Catat Ulasan