PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menuduh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai lebih asyik dengan jawatan perdana menteri daripada memberi tumpuan kepada wabak Covid-19 yang semakin memburuk.
Beliau terkilan kerana jawatan perdana menteri terus dijadikan polemik meskipun terbukti pembangkang berpecah belah dan tidak mempunyai sokongan yang diperlukan.
“Pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi perdana menteri, walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi,” kata Hadi.
Hadi yang menjadi sekutu utama perdana menteri Muhyiddin Yassin dalam kerajaan Perikatan Nasional, berkata Anwar sepatutnya peka terhadap peri laku dan cita-citanya menjadi perdana menteri.
“Ada juga yang tenggelam bahteranya tetapi masih berpaut. Sebahagian lain pula, tanpa sedar, sudah hampir tenggelam bahtera mereka, sehingga ada yang menghantar nama kepada Agong dengan tandatangan tanpa angka,” kata Hadi.
“(Ini) laksana menyerahkan cek kosong supaya Tuanku meletakkan berapa jumlahnya (Ahli Parlimen),” katanya dalam kenyataan.
Hadi tidak menamakan Anwar namun ketua pembangkang itu satu-satunya pemimpin pada Oktober lalu, yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik menjadi perdana menteri, menggantikan Muhyiddin Yassin.
Namun, apabila diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada tahun lalu, Anwar gagal mengemukakan senarai nama dan pengakuan berkanun Ahli Parlimen berkenaan.
Semalam, Anwar sekali lagi mendesak Muhyiddin meletak jawatan dan menyelar beliau kerana mengusulkan darurat untuk membendung wabak Covid-19.
Hadi mempertahankan tindakan Muhyiddin itu, dan membidas saf pemimpin pembangkang kerana lebih cenderung mengenai persoalan kepimpinan negara, bukannya Covid-19.
“Ada yang masih berpolitik sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera, kata Hadi.
Hadi menegaskan proklamasi darurat itu wajib dilaksanakan untuk melandaikan lengkung jangkitan Covid-19.
Justeru, beliau berkata semua pihak di negara ini harus berhenti meneladani Presiden AS, Donald Trump, yang mengutamakan politik dan bukan nasib rakyat negara itu.
“Malangnya, mereka (kalangan pemimpin tempatan) lebih menghayati ‘sunnah’ Trump yang bermain politik tanpa mempedulikan wabak yang sedang melanda negara berkenaan dengan marak,”katanya.
Tegas Hadi, isu keselamatan rakyat wajar diutamakan, dan pengisytiharan darurat oleh Agong semalam harus mendorong semua pihak untuk bersatu hati dalam memerangi Covid-19.
Beliau juga menafikan tuduhan pembangkang bahawa darurat mengekang hak dan mata pencarian rakyat.
“Tempoh darurat sudah ditentukan, tempoh masa dan sempadan yang sangat terhad sehingga penyelesaian wabak dapat dicapai. Darurat tidak menghalang pergerakan rakyat untuk menjalani kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.
“Seterusnya dicadangkan urusan pentadbiran berjalan dengan persediaan menubuhkan anggota yang memantau melalui penglibatan semua pihak tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan politik.
Hadi menyifatkan darurat yang diisytiharkan sebagai kawalan yang “wajib ditunaikan oleh kerajaan berdaulat untuk sementara waktu, bukan selama-lamanya”.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan