Datuk Ziela Jalil, Sebulan rahsia pernikahan.. Al-hamdulillah.
Datuk Ziela Jalil bersama suami, Datuk Syed Osman Alhabshee Syed Omar mendirikan rumah tangga pada 17 Februari 2019 di sebuah masjid di ibu negara selepas enam tahun kenal.
HALAMAN HIBURAN
KUALA LUMPUR: Belum pernah ada sepatah pun kenyataan keluar dari mulut Datuk Syed Osman Alhabshee Syed Omar selepas berkahwin secara rahsia dengan pelakon dan penerbit, Datuk Ziela Jalil seperti yang tersebar, baru-baru ini.
Sebaliknya, hanya Ziela sahaja yang tampil ke depan mengesahkan berita perkahwinan sejak dua tahun lalu, sekali gus berkongsi rahsia hidup bermadu.
Enggan melihat isterinya menangkis cemuhan masyarakat seorang diri, akhirnya Syed Osman bersedia ditemubual bagi menamatkan spekulasi tidak benar, selain berkongsi detik perkahwinan yang mencetuskan kontroversi itu.
Mengulas persoalan mengapa merahsiakan perkahwinan hingga didedahkan oleh anaknya sendiri dalam laman Twitter, Syed Osman berkata, beliau mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.
"Sebenarnya, perkahwinan ini bukanlah rahsia kerana ramai dalam kalangan ahli keluarga dan teman baik sudah mengetahuinya. Saya tak pernah anggap berita ini sebagai kejutan. Cuma, kami memilih untuk tidak menghebahkannya. Siapa yang tahu, tahulah...
"Justeru, saya anggap itu adalah satu hikmah yang menandakan sudah masanya untuk kami berkongsi status perkahwinan ini kepada khalayak apabila anak saya mendedahkannya dalam Twitter.
"Selain mencari masa yang sesuai, tujuan tidak terlalu menghebohkan perkahwinan ini kerana mahu menjaga hati isteri pertama," katanya ketika ditemubual menerusi program kapsul hiburan BHTV, Apa Kes?, baru-baru ini.
Dalam temubual eksklusif itu, Syed Osman yang juga Pengerusi Masjid Ibnu Mas'ud bersikap jujur apabila mengakui majlis pernikahan yang berlangsung pada 17 Februari 2019 itu dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama.
"Hanya selepas sebulan bernikah, barulah saya memaklumkan perkahwinan pada isteri pertama. Saya akui, agak sukar bersikap tidak jujur selama sebulan merahsiakan perkara ini. Mungkin orang lain boleh melakukannya, tetapi bukan saya.
"Awalnya, isteri pertama agak sukar menerima hakikat ini, tetapi berkat doa yang dipanjatkan, akhirnya dia dan anak-anak boleh menerimanya. Saya membawa mereka bertemu dengan Ziela dan anak-anak untuk berkenalan.
"Alhamdulillah, pertemuan berjalan dengan baik dan saya bersyukur kerana Allah mengaturnya dengan begitu cantik," ujar lelaki berusia 55 tahun itu.
Dalam temubual sebelum ini, Ziela atau nama sebenarnya, Norzilah Abdul Jalil berkongsi detik awal perkenalannya dengan suami bermula pada 2013. Namun, waktu itu, ia tidak membabitkan soal hati dan perasaan kerana suaminya itu berminat membeli keretanya.
Namun, jodoh mereka kuat apabila bertemu semula selepas enam tahun. Mereka hanya mengambil masa selama lima minggu untuk membuat keputusan menghalalkan hubungan dengan ikatan yang sah.
Mengulas perkara itu, Syed Osman berkata, dia tidak menyangka pertemuan yang tidak dirancang akhirnya menyatukan mereka sebagai pasangan suami isteri.
"Kali pertama saya bertemu dengan Ziela pada 2013 atas tujuan mahu membeli keretanya. Saya datang ke rumahnya untuk melihat keadaan kereta dan uji pandu. Saya setuju membelinya memandangkan keadaan kenderaan ini dijaga rapi dan jenis yang saya inginkan.
"Dan selepas itu, kami banyak bertemu dalam majlis agama dan saya pernah mengendalikan majlis tahlil untuk arwah suami, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob. Saya mengenali Ziela sebagai selebriti yang sudah berhijrah. Beliau juga ada asas dalam pengetahuan agama, itulah yang membuatkan saya tertarik padanya.
"Mungkin orang luar melihat keputusan bernikah selepas lima minggu berkenalan sebagai tindakan terburu-buru. Saya sendiri tidak menyangka ia berlaku secepat ini, tetapi itulah dinamakan takdir dan jodoh," ungkapnya.
Datuk Ziela Jalil bersama suami, Datuk Syed Osman Alhabshee Syed Omar tidak mahu terlalu menghebohkan berita perkahwinan kerana mahu menjaga hati isteri pertama.
Sebagai seorang yang mengamalkan poligami, Syed Osman berkata, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuknya. Namun, itu juga bukanlah alasan untuknya tidak berlaku adil dalam melunaskan kewajipan terhadap kedua-dua isteri.
"Poligami adalah perkara paling mulia. Tak dinafikan, agak sukar menjadi seorang yang sempurna, tetapi saya akan melakukan yang terbaik, selebihnya saya serahkan pada Allah. Apa yang pasti, hati kedua-duanya isteri perlu dijaga. Justeru, saya perlu bersikap jujur dengan mereka.
"Saya akui, rumah tangga juga ada pasang dan surut apabila memiliki dua isteri. Tetapi, saya berpegang teguh pada pepatah, jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
"Ini pengalaman pertama saya berpoligami dan masih dalam proses pembelajaran. Saya hanya berdoa kepada Allah semoga diberi kekuatan untuk melayari bahtera perkahwinan bersama dua isteri. Alhamdulillah, mereka amat memahami perasaan saya," luah Syed Osman.
Meskipun berbeza bidang, namun Syed Osman berkata, dia tidak sesekali menyekat Ziela yang juga pemilik syarikat produksi, Pena Creative Sdn Bhd untuk terus aktif dalam dunia seni.
"Saya tak pernah melarangnya bergiat aktif dalam bidang seni. Cuma pesan saya, dia kena tahu menjaga batasan selepas bergelar isteri, sama ada ketika berlakon atau berada dalam majlis," katanya.
Perkahwinan Syed Osman bersama isteri pertama dikurniakan enam cahaya mata. Ziela pula pernah mendirikan rumah tangga dengan arwah Megat Junid pada 1991 dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah. Ziela juga memiliki seorang anak angkat lelaki, Ibrahim Junid Abdullah.
0 ulasan:
Catat Ulasan