Ketika kami sedang lepak dekat Twitter minggu lepas, kami terlihat satu ciapan Pengerusi MDEC yang mengatakan sepatutnya ustaz Ebit Lew lakukan kutipan derma untuk membantu pelajar-pelajar yang memerlukan. Bagi mereka yang tak tahu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ialah sebuah agensi milik kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) sebagai kawasan industri dan perdagangan teknologi bertaraf dunia di Malaysia. Bahasa mudahnya, diorang adalah agensi kerajaan yang uruskan ICT dan multimedia.
Dr. Rais yang kini jadi Pengerusi MDEC hasil daripada lantikan politik kerajaan semasa buat kami bingung. Kalau Ebit Lew yang kena tolong pelajar-pelajar yang tak mampu belajar dalam talian, kerajaan buat apa? Dia adalah ahli BERSATU yang merupakan parti utama kerajaan pada hari ini. Sepatutnya dia pergi nasihatkan kerajaan untuk cipta dasar yang boleh membantu pelajar-pelajar yang tercicir.
Benda ni bukan kami seorang je yang terfikir, dengan jumlah ahli Kabinet kita yang ramai, sudah tentu orang tertanya-tanya; mana pergi semua mangkuk ahli Kabinet yang sepatutnya menguruskan negara ketika kita berhadapan dengan pandemik?
Kalau semua nak harap pada Ebit Lew, apa kerja Kabinet yang dibayar rakyat?
Sebelum ini, Ustaz Ebit Lew ada beli 100 tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang memerlukan, bagi membolehkan mereka mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Selepas benda tu tular, dia dedahkan dalam tempoh hanya separuh hari, beliau menerima 43,000 mesej memaklumkan mereka memerlukan gajet berkenaan untuk pembelajaran anak.
“Ramai juga yang orang kelainan upaya (OKU), tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan kerja gaji kecil. Semua bangsa ada dari semua negeri. Maafkan saya ya, tidak dapat membantu ramai lagi,” – Melalui Facebook Ebit Lew
Dia jelaskan, ramai juga yang hantar mesej memaklumkan mereka memerlukan kerusi roda atau keseluruhan 8,000 set kemudahan berkenaan. Sebanyak 8,000 lagi kerusi roda juga diperlukan. Ambulans dan van jenazah setiap hari bergerak.
Bukan setakat manusia yang Ebit Lew tolong, binatang pun turut dia bantu. Disebabkan Covid-19, pendapatan Zoo Negara terjejas. Setelah dimaklumkan situasi Zoo Negara yang kurang pendapatan, Ebit Lew tampil memberi sumbangan makanan kepada haiwan-haiwan di sana.
“Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo Negara untuk selamatkan haiwan di sana. Sekarang dah banyak bulan pihak Zoo Negara tiada langsung pendapatan semenjak awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Mereka sangat kekurangan dana. Saya tahu tengah hari tadi (semalam). Petang terus bawa 200 kilogram daging lembu dan 500 kilogram buah-buahan dan sayuran,” – Melalui Facebook Ebit Lew
Dua contoh aksi menteri yang dapat kecaman orang ramai di alam maya
Ada netizen yang beranggapan kerajaan amalkan dasar pilih kasih apabila menteri dilihat selamba melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19. Benda ni terjadi apabila gambar Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tular. Dia dikatakan mengadakan pertemuan di Pengerang, Kota Tinggi Johor.
Azmin dikatakan menghadiri majlis penyampaian bantuan berbentuk barangan keperluan asas selain bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan terjejas oleh bencana banjir di Pengerang. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) beritahu misi bantuan banjir di bawah kementeriannya dilaksanakan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Secara umumnya pergerakan rentas negeri tak dibenarkan di seluruh negara di semua negeri yang dikenakan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) serta PKP Pemulihan (PKPP). Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tegaskan semua pergerakan rentas negeri tak dibenarkan di negeri yang dikenakan PKP dan PKPB.
Kelonggaran hanya diberi atas sebab-sebab tertentu seperti kecemasan atau telah membeli tiket penerbangan dan bas ekspres. Ribuan individu telah dikompaun dan direman atas kesalahan ingkar SOP PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.
Selain Azmin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun ada buat benda yang lawak. Dia melakukan lawatan di sekatan jalan raya di Jalan Kuching di sini untuk melihat tugas kawalan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tengku Zafrul bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said tiba di lokasi sekatan jalan raya.
Dalam lawatan tu, kedua-duanya meluangkan masa hampir 20 minit untuk meninjau suasana di lokasi sekatan jalan raya selain mengedarkan bungkusan makanan kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di sekatan tu.
Walaupun Tengku Zafrul cuma luangkan masa yang sekejap dalam lawatan dia tu, ramai yang kata dia sepatutnya fokus dalam ‘kewangan’ negara. Terutamanya ketika orang ramai sedang berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan kehidupa akibat kesan pandemik. Secara jujur, kami merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki; terutamanya dalam bantuan sosial kita terhadap golongan yang memerlukan.
Kita mampu melakukan aksi-aksi membantu rakyat tanpa gimik yang tak perlu
Kami faham je kenapa ramai ahli politik suka buat benda-benda yang populis macam sapu longkang, atau pergi lawat frontliners. Mereka nak kelihatan peduli dan mesra kepada hero-hero negara ni. Malangnya, aksi-aksi populis tidak semuanya akan memberi keuntungan kepada rakyat. Kebanyakan kerja dan usaha harus ditumpukan kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat, dan ia boleh dilaksanakan tanpa melakukan ‘gimik’.
-orangkata.my
0 ulasan:
Catat Ulasan