Isnin, 4 Januari 2021

UMNO mahu tanding lebih 96 kerusi pada PRU15, kata Tok Mat

 

Mohamad Hasan berkata, UMNO mahu memenangi PRU15 untuk menubuhkan kerajaan, bukan meminta kerusi untuk bermegah-megah. (Gambar Bernama)

REMBAU: UMNO menyasarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 96 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15, selepas mengambil kira rundingan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN), PAS dan PPBM.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, berdasarkan formula awal rundingan, UMNO juga akan terus mempertahankan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU14.

“Kerusi kepada UMNO, itu kerusi yang kita susun atur, yang kita menang dan dapat nombor dua (tertinggi undi pada PRU14). Kita juga dapati ada kerusi rakan BN yang mereka tak pernah menang kerana pengundi mahu calon Melayu, misalnya.

“Secara dasarnya, komponen BN pun bersetuju (isu pembahagian kerusi). Pada PRU15, kita nak menang, mesti menang untuk tubuhkan kerajaan, bukan kerusi untuk bermegah-megah. Kita mesti teliti setiap kerusi, geopolitik, corak pengundi dan lokaliti,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Rembau.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Tajuddin Abdul Rahman yang parti itu hanya akan bekerjasama dengan PAS tanpa membabitkan PPBM pada PRU15, Mohamad yang juga ketua UMNO Rembau berkata: “Itu hak dia (Tajuddin) untuk bercakap, bukan keputusan parti lagi.

“Untuk keputusan parti boleh bawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO akan datang.”

Mengenai beberapa UMNO Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15, Mohamad yang juga pengerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi bagi UMNO berkata, parti itu perlu membina kekuatan sendiri terlebih dahulu tanpa perlu menolak kerjasama berkenaan.

Berhubung kenyataan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa yang berpendapat UMNO tidak boleh bergerak secara solo, Mohamad berkata, parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jangan kata kita kalau bersendirian, kita tidak boleh menang…selama ini pun kita berseorangan juga, namun pada PRU14 lepas, kita ada buat kesilapan sedikit. Tetapi, kalau ada kerjasama lagi baik, kalau tiada kerjasama pun, yang penting kita perkasakan diri sendiri dan parti.”

Semalam, Annuar dalam mesyuarat perwakilan UMNO Ketereh menegaskan parti itu tidak boleh “bersendirian” dalam arena politik, jika mahu memenang PRU15 kerana bergerak secara solo bukan formula kemenangan kepada parti itu.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan