Pemimpin Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu mencuri ahli Umno dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu penghinaan kepada akar umbi Umno yang memilih untuk menyertai Bersatu.
Senator, Muhammad Zahid Md Arip berkata, kemasukan berbondong-bondong ahli Umno ke dalam Bersatu adalah disebabkan hilangnya kepercayaan mereka terhadap pucuk pimpinan parti itu.
Dakwanya, peringkat akar umbi mahupun dalam kalangan pimpinan Umno sendiri merasa kecewa dengan tindak-tanduk pimpinan pusat apabila cuba menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan mereka memilih Bersatu dengan rela hati.
“Saya percaya terdapat kumpulan ‘lidah kontot’ dalam Umno yang kalah serta tidak terpilih menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu, telah menjadi agen kepada DAP dan Anwar.
“Mereka mendalangi permainan politik ini dengan menyemarak kebencian terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jika agenda kumpulan ‘lidah kontot’ ini berjaya dan tidak dibersihkan segera oleh Umno, Umno akan ditelan oleh DAP dan PKR buat selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Pergerakan Pemuda Umno mendesak Bersatu agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli di antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu tidak dapat memberi jaminan kerjasama kedua parti berkenaan akan kekal sekiranya perkara sedemikian masih berlaku.
Sementara itu kata Muhammad Zahid, semua pihak harus menghentikan sikap politik sempit yang menjadi agen pemecah-belah kepada keharmonian kerjasama yang terjalin dalam kerajaan PN ketika ini.
Ini kerana katanya, fokus serta tumpuan sebenar Umno serta semua parti komponen di dalam PN adalah untuk memulihkan kembali ekonomi negara dan menangani ancaman Covid-19.
-malaysiadateline
0 ulasan:
Catat Ulasan